PETALING JAYA – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu kejadian pergaduhan yang berlaku semasa sambutan pesta Songkran di One Utama, Damansara.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, video berkenaan dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook Jojo Liew berdurasi 56 saat dikesan pihak polis pada pukul 10 pagi tadi.
“Hasil semakan mendapati video tersebut memaparkan insiden pergaduhan yang dipercayai berlaku semasa acara pesta air Songkran yang diadakan di pusat beli-belah One Utama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, susulan video tular itu, Ketua Polis Balai Damansara telah membuat laporan polis bagi memulakan siasatan lanjut terhadap kejadian tersebut.
“Siasatan kini dijalankan oleh Balai Polis Damansara dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata,” ujarnya.
Tambah Shahrulnizam, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh hadir ke mana-mana balai polis berhampiran atau terus menghubungi Ketua Polis Balai Damansara, Inspektor Hafizzul Mohd. Noor di talian 016-223 6804 atau 03-7722 2222,” katanya. – KOSMO! ONLINE