fbpx

‘Kami nak bertunang, dia pergi dulu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD DZULFITRI (gambar kecil).

JOHOR BAHRU – Hasrat seorang operator kilang untuk mengikat tali pertunangan tidak kesampaian apabila gadis pilihan hatinya dijemput Ilahi dalam kemalangan maut dua beradik di persimpangan lampu isyarat Simpang Empat Felda Ulu Tebrau di sini, malam semalam.

Mohd. Dzulfitri A. Halim, 21, berkata, bakal tunangnya, Nuraisyah Amalin Zaibur, 20, terkorban bersama adiknya, Ammar Saifullah, 15, dalam kemalangan melibatkan motosikal jenis Honda dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima.

Menurutnya, mereka merancang untuk melangsungkan hari bahagia pada hujung tahun ini.

“Saya kenal dengan Nuraisyah sejak bangku sekolah lagi, masa itu saya tingkatan tiga dan dia pula tingkatan dua, kami kenal secara serius selepas kami mengikuti rombongan yang dianjurkan Kelab Kompang Felda Ulu Tebrau ke Melaka pada tahun 2018.

“Kira-kira kami kenal sudah tujuh tahun, saya kenal keluarga dia, dia pula kenal keluarga saya, saya ada berbincang dengan keluarga saya untuk masuk meminang dia.

“Tapi mak saya nasihat supaya habiskan bayar ansuran bulanan motosikal dahulu sebelum nak bertunang, motosikal habis bayar bulan ini, jadi saya rancang nak bertunang hujung tahun ini, kedua-dua pihak bersetuju tetapi itulah dia pergi dahulu saya reda,” katanya di Wakaf Perkuburan Islam Felda Ulu Tebrau di sini hari ini.

Arwah Nuraisyah merupakan anak sulung empat beradik sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Sementara menunggu keputusan keluar, Nuraisyah baharu sahaja dua minggu bekerja sebagai operator sebuah kilang di Desa Cemerlang di sini.

Bercerita lanjut, Mohd Dzulfitri berkata, kali terakhir dia berjumpa dengan Nuraisyah sehari sebelum kejadian.

Katanya, mereka meluangkan masa bersama-sama keluar makan sempena hari cuti bekerja pada hujung minggu.

“Selepas masing-masing balik rumah keesokkan harinya, Nuraisyah menghantar mesej untuk memberitahu untuk beraya di rumah bapanya di Ulu Tiram.

“Masa itu saya ingatkan dia keluar naik kereta, tak sangka dia naik motosikal dengan adik, saya dapat tahu mereka kemalangan selepas kawan beritahu,”katanya.

Dalam kejadian pada pukul 9.50 malam semalam, Nuraisyah membonceng motosikal yang ditunggang adiknya, Ammar Saifullah meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah pada anggota badan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI