SHAH ALAM – Diuji dengan kemelut rumah tangga, penyanyi Datuk Nora Ariffin enggan terlalu memikirkan hal tersebut, sebaliknya menyerahkan segala ketentuan kepada Illahi.
Dalam masa sama, Nora atau Wan Norafizah Wan Ariffin, 52, percaya bahawa dia sudah melakukan yang terbaik dalam perkahwinannya bersama Dr. Rushdi Ramli.
“Terus-terang, tiada siapa yang berkahwin mahu bercerai. Saya pernah melalui episod kehilangan (kematian suami terdahulu) dan kini diuji lagi.
“Tetapi saya percaya Allah susun kehidupan saya dengan sebaik-baiknya.
“Saya buat apa yang terbaik berdasarkan fakta serta bukti. Kami tidak bercakap sesuka hati,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini, hari ini.
Ditanya mengenai penerimaan anak-anak, juara Bintang HMI itu mengakui kesemua permata hatinya tidak campur tangan dalam urusan rumah tangganya.
“Mereka tidak campur tangan kerana menganggap ini urusan antara ibu dan bapa.
“Mereka enggan masuk campur kecuali jika mereka terlibat secara langsung,” ujarnya lagi.
Hari ini, Nora hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Selangor sekitar pukul 9.25 pagi tadi untuk memfailkan permohonan perceraian terhadap Dr. Rushdi.
Mahkamah menetapkan tarikh 6 Mei depan bagi prosiding pertama perceraian pasangan itu.
Sebelum ini, Nora kerap berkongsi tentang kemelut rumah tangganya dalam media sosial.
Pada akhir 2021, Nora mendedahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya. – KOSMO! ONLINE