SHAH ALAM – Perjalanan seorang pekerja restoran menuju ke tempat kerjanya bertukar tragedi apabila motosikal ditungganginya terlibat kemalangan di Kilometer 5.1 Lebuh Raya Lembah Klang Baru (NKVE) di sini, hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 22 tahun yang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja di sebuah restoran di Bukit Damansara meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah motosikal, kereta dan treler.
“Setibanya di lokasi, lelaki itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar bucu belakang kiri sebuah Honda HRV dipandu seorang wanita berusia 64 tahun di lorong paling kanan. Mangsa kemudian tercampak ke lorong kiri dan terkena tayar belakang sebuah treler,” katanya ketika dihubungi.
Tambah Mohd. Iqbal, kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera parah dan disahkan maut di lokasi kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Abdul Nasser Peping di talian 012-2863875 atau balai polis berdekatan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE