SINGAPURA – Sejumlah pembeli, kebanyakannya warga emas menyerbu dan berasak-asak di Kelab Komuniti Ci Yuan (CC), Singapura untuk membeli tiket bagi memasuki pasar SGD$1 (RM3), lapor portal berita MS News hari ini.
Satu rakaman video di Facebook menunjukkan orang ramai hampir tidak dapat bergerak ketika warga emas yang memegang wang tunai dan telefon bimbit saling menolak untuk mendapatkan tiket tersebut.
Keadaan bertukar kecoh apabila tali penghadang tiang beratur ditanggalkan secara tidak sengaja, menyebabkan orang ramai menyerbu ke bahagian hadapan.
Anggota polis terpaksa dipanggil dengan seorang pegawai memegang pembesar suara dalam percubaan untuk bercakap dengan orang ramai.
Netizen yang berkongsi video itu menyifatkan ia sebagai perancangan paling teruk yang pernah dilihat ketika ramai orang ramai berebut-rebut untuk mendapatkan nombor giliran.
Dalam catatan di Facebook semalam, kelab itu meminta maaf kepada penduduk susulan kejadian tersebut.
Jualan tiket tersebut adalah untuk acara pasar Ang Mo Kio–Hougang yang akan berlangsung pada 27 April ini, di mana pembeli boleh membeli pelbagai barangan keperluan hanya pada harga SGD$1 setiap satu. – AGENSI