KADANG-KADANG hidup ini boleh buat kita jadi macam roti sandwich.
Lebih tepat lagi, seperti inti di tengah-tengah roti, iaitu terhimpit dengan dua benda penting; tanggungjawab menjaga ibu bapa dan sebelah lagi anak-anak. Itulah dia kehidupan generasi sandwich.
Jadi ibu bapa pada zaman sekarang juga bukan senang, bayangkan sedang berkira-kira menyimpan duit untuk membayar yuran sekolah anak, tiba-tiba ibu di kampung minta tambah duit belanja.
Bila gaji masuk setiap bulan pula, kepala juga terus buat kira-kira duit untuk keluarga dan perbelanjaan untuk ibu bapa di kampung.
Adakala, tertanya-tanya bila agaknya dapat merasa duit gaji untuk ‘self reward’ ataupun untuk simpanan buat diri sendiri.
Pengarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia, Prof. Dr. Haslinda Abdullah berkata, generasi sandwich merujuk kepada individu yang perlu menjaga anak-anak dan dalam masa yang sama memikul tanggungjawab menjaga kebajikan ibu bapa.
Beliau berkata, fenomena ini semakin ketara di Malaysia, terutama dalam kalangan golongan pekerja dewasa yang mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menjaga dua generasi yang berbeza.
“Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia ke-5 menunjukkan 70 peratus warga emas di Malaysia tinggal dengan keluarga. Daripada jumlah tersebut, 68.2 peratus adalah wanita iaitu sejumlah 6 juta.
“Wanita yang merupakan individu generasi sandwich sering menghadapi pelbagai cabaran, terutama dari segi kewangan, masa, tenaga dan sokongan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya, mengambil peranan menjaga ibu bapa meskipun sudah berkeluarga ini bukan sesuatu yang baru.
“Kalau dahulu biasanya menjaga ibu bapa ini tiada isu kerana kita ada ‘extended family’. Keluarga boleh bersama-sama bantu menjaga orang tua berbanding meletakkan beban kepada satu individu sahaja.
“Apa yang menjadi masalah sekarang ialah struktur keluarga itu yang lebih kepada ‘nuklear sandwich’ apabila bukan semua dapat membantu menjaga ibu bapa tetapi seorang sahaja yang memikul tanggungjawab itu dan sudah tentu sangat memberi tekanan jika dia perlu bekerja, menjaga ibu bapa dan dalam masa sama menjaga keluarga sendiri,” katanya.
Bagaimanapun katanya generasi sandwich ini bukanlah sesuatu yang buruk sekiranya individu yang perlu memikul tanggungjawab itu berkemampuan dan menerima kemudahan yang sewajarnya.
“Menangani isu generasi sandwich memerlukan pendekatan yang menyeluruh. Ini bukan sahaja melibatkan individu yang terlibat, tetapi juga sokongan daripada keluarga, komuniti, dan pihak kerajaan.
“Oleh itu, usaha berterusan perlu dilakukan untuk menyediakan sokongan yang lebih baik, termasuk perkhidmatan penjagaan warga emas, kewangan, serta kemudahan bagi meringankan beban mereka,” katanya.






