ISKANDAR PUTERI – Johor merekodkan nilai eksport produk pertanian terbesar dalam negara melibatkan barangan sebanyak 6.8 juta tan bernilai RM23.96 bilion sepanjang tahun 2023 dan 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Datuk Zahari Sarip berkata, jumlah itu merupakan 70 peratus daripada eksport pertanian negara pada tempoh berkenaan.
Katanya, rekod berkenaan diperoleh menerusi Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
“Menerusi lapan pintu masuk antarabangsa di Johor, Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Iskandar Puteri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak RM10.3 billion atau 3.49 tan produk hasil pertanian.
“Antara faktor utama pencapaian ini adalah kedudukan pintu keluar Johor yang strategik untuk aktiviti eksport agromakanan negara terutamanya ke pasaran serantau seperti Singapura, Indonesia dan seterusnya ke China dan Timur Tengah,” katanya selepas melawat pemeriksaan dibuat MAQIS Johor di KSAB, di sini, malam tadi.
Tambah Zahari, prestasi itu turut disokong kemudahan pelabuhan bertaraf dunia serta status Johor sebagai pengeluar utama hasil pertanian melibatkan buah-buahan, sayur-sayuran dan produk ternakan.
“Kelebihan dan potensi ini akan dimanfaat sepenuhnya kerajaan negeri bagi memperkasa sektor pertanian menerusi pelbagai inisiatif berkaitan peningkatan produktiviti dan perluasan eksport hasil pertanian negeri,” katanya.- KOSMO! ONLINE