Tarif yang diumumkan Trump telah menggegar ekonomi di seluruh dunia sehingga dijangka mengubah hubungan perdagangan lama. – GAMBAR HIASAN

Malaysia terkesan tarif AS tapi tetap bersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ekonomi Malaysia sedang menghadapi kesan pergolakan ekonomi global ketika dalam situasi kukuh. Ekonomi berkembang sebanyak 5.1 peratus berbanding tahun sebelum­nya (YoY) dan data terkini menunjukkan bahawa pertumbuhan pada Suku Pertama 2025 (SI25) dijangka mampu bertahan, walaupun pada kadar lebih sederhana.

Pengumuman tarif yang dibuat oleh Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menggegar ekonomi di seluruh dunia dan menimbulkan kesedaran bahawa hubungan perdagangan lama akan berubah dengan ketara daripada kelaziman semasa.

Pada hakikatnya tiada ekonomi yang terlepas, lebih-lebih lagi jika AS mempunyai defisit perdagangan yang tegar dengan negara tersebut. AS mempunyai defisit perdagangan yang berterusan dengan Malaysia sejak seawal tahun 2000 lagi dan secara terkumpul berjumlah AS$24.8 bilion (RM 109.50 bilion) pada 2024.

Kesannya ialah pengiraan tarif timbal balik ‘terdiskaun’ seba­nyak 24 peratus yang dikenakan ke atas import AS dari Malaysia, berkuat kuasa 5 April. Keputusan tersebut telah ditangguhkan selama 90 hari mulai 9 April.

Walau apa pun hasil rundi­ngan, tarif timbal balas Malaysia pada kadar 24 peratus adalah lebih rendah berbanding negara-negara serantau seperti Vietnam (46 peratus), Kemboja (49 peratus), Thailand (37 peratus) dan Laos (48 peratus), membo­lehkannya mengekalkan daya saing secara perbandingan, bagi firma yang masih cenderung untuk mengeksport ke AS.

Selain itu, bagi syarikat yang telah menggunakan strategi ‘China +1’, daya tarikan Malaysia masih lebih tinggi berbanding kadar tarif 145 peratus bagi Tanah Besar China. Tetapi ini bukan kata putus bagi tarif yang dikenakan terhadap Malaysia.

Pengecualian

Pengecualian yang diberikan kepada semikonduktor dan produk berkaitan telah memberikan kelegaan sementara kira-kira 46 peratus daripada eksport Malaysia ke AS masih dikecua­likan daripada tarif berdasarkan peraturan terkini (setakat 14 April 2025).

Antaranya termasuk produk peralatan elektronik dan elektrik, meliputi litar bersepadu elektronik, sel fotovoltan, kelengkapan komunikasi dan mesin pemprosesan data automatik.

Namun satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah pentadbiran Trump tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan tarif ke atas semikonduktor yang menimbulkan ketidakpastian lebih besar ke atas ekonomi.

Kami telah menurunkan unjuran pertumbuhan KDNK 2025 kami kepada 4.3 peratus YoY berbanding 4.5 peratus sebelum ini. Keadaan ini terutamanya mencerminkan prospek permintaan luar yang lebih lemah disebabkan ketidakpastian yang berpanjangan dan kadar tarif lebih tinggi ke atas import AS yang dijangka menjejaskan eksport global.

Pada masa sama, kami meramalkan syarikat perniagaan akan lebih berwaspada dengan rancangan perbelanjaan mereka, menangguhkan pelaburan modal dan peluasan operasi, manakala isi rumah meningkatkan simpanan sebagai langkah berjaga-jaga dan melengahkan sebarang perbelanjaan besar.

Bagaimanapun, risiko lebih cenderung kepada kadar pertumbuhan yang lebih rendah. Pihak berwajib perlu melaksanakan dasar kitaran balas untuk menampung risiko penyusutan pertumbuhan dalam jangka pendek.

Dari segi fiskal, langkah-langkah ini mungkin termasuk pelepasan cukai untuk sektor tertentu dan pemberian tunai bersasar. Pelaksanaan dasar monetari kitaran balas termasuk lebih banyak pelan penyusunan semula tanggungan hutang, usaha menguruskan turun naik FX, memberikan keyakinan kepada syarikat korporat dan institusi kewangan dan potensi mengurangkan kadar faedah jika kemelesetan pertumbuhan menjadi lebih meluas.

Industri semikonduktor

Lebih penting lagi, prospek jangka pendek yang suram menekankan keperluan untuk agenda pembaharuan jangka perte­ngahan yang mantap. Pihak berwajib Malaysia telah mengambil langkah-langkah penting untuk mengukuhkan prospek pertumbuhan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Langkah memperkenalkan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Pelan Hala Tuju

Peralihan Tenaga Negara (NETR), Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) dan Undang-Undang Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal menggariskan komitmen kerajaan untuk me­ngukuhkan tunggak utama pertumbuhan merentasi sektor dan wilayah ekonomi.

Sebagai contoh, salah satu matlamat dinyatakan oleh pentadbiran semasa ialah untuk menaikkan kedudukan industri semikonduktor dalam rantaian nilai.

Ekosistem semikonduktor Malaysia kini mengkhusus dalam aktiviti operasi belakang se­perti pengujian dan pembungkusan. Keupayaan meningkat naik dalam rantaian nilai reka bentuk dan pengeluaran litar bersepadu (IC) menghasilkan nilai tambah yang lebih besar untuk ekonomi dan menjana pertumbuhan lebih berkualiti.

Kerjasama kerajaan dengan firma cip Britain Arm Holdings PLC selama 10 tahun bernilai USD$250 juta (RM1.1 bilion), untuk mengakses lesen berkaitan semikonduktor bagi mengukuhkan keupayaan reka bentuk IC dalam pesisir adalah satu langkah pen­ting ke arah yang wajar.

JS-SEZ adalah satu lagi contoh pembaharuan struktur yang akan menggalakkan pembangunan ruang lebih besar di seluruh ekonomi. Pembangunan ini juga memberi ruang kepada pihak berwajib untuk memberi tum­puan kepada industri pilihan seperti peralatan elektrik dan elektronik, peranti perubatan, bahan kimia, tenaga boleh diperbaharui dan pusat data.

Reaksi awal dan minat terhadap JS-SEZ adalah positif; ketegangan perdagangan global yang berlarutan mungkin akan terus mencetus minat kerjasama perdagangan dan pelaburan di dalam rantau.

Pengukuhan fiskal untuk mewujudkan ruang fiskal yang membolehkan perbelanjaan modal berkualiti tinggi, mengurangkan perbelanjaan subsidi yang membazir dan meluaskan asas hasil cukai juga akan mele­takkan ekonomi pada kedudukan baik dalam jangka pertengahan.

Subsidi

Dari segi hasil, kerajaan telah memperkenalkan e-invois, meluaskan skop dan kadar cukai jualan dan perkhidmatan, dan memperkenalkan cukai keuntu­ngan modal (Januari 2024). ­Langkah memperkenalkan semula Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) kekal sebagai ketidakpastian utama.

Dari segi perbelanjaan, pihak berwajib memperkenalkan rasionalisasi subsidi diesel bersasar (Jun 2024) dan merancang untuk memperkenalkan rasio­nalisasi RON95 yang dijangka dilaksanakan pada separuh kedua 2025. Risiko kepada rasionalisasi tersebut menjadi semakin jelas, kerana harga minyak global yang kekal rendah sama ada akan mempercepatkan peralihan kepada rasionalisasi RON95 bersasar atau menangguhkannya sehingga diperlukan.

Satu perkembangan tidak diduga ialah paras inflasi yang kekal rendah. Inflasi utama terus menyusut kepada 1.5 peratus perbandingan tahunan pada bulan Februari, dengan inflasi teras pada 1.9 peratus secara tahunan.

Harga minyak global kini berada sekitar AS$60-65 (RM265-287) setong, jauh di bawah andaian belanjawan kerajaan sebanyak AS$75-80 (RM331-353) setong. Ini menunjukkan bahawa tekanan inflasi utama, walaupun ditampung kewujudan subsidi, berkemungkinan akan kekal rendah.

Gabenor BNM menyatakan bahawa dasar monetari bukanlah instrumen terbaik untuk menangani risiko tarif tetapi menegaskan bahawa BNM akan memastikan pasaran FX berfungsi dengan teratur.

Ekonomi Malaysia bakal mengharungi pelbagai ujian, tetapi pihak berwajib mungkin kurang tertekan kerana bukan Malaysia sahaja yang akan me­ngalami kesannya.

Ketangkasan melaksanakan tindak balas dasar dan wawasan jelas tentang reformasi struktur jangka panjang akan meletakkan ekonomi Malaysia pada kedudukan yang kukuh dalam tempoh yang mencabar ini.

Lavanya Venkateswaran ialah Ahli Ekonomi Kanan ASEAN, OCBC

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN