PETALING JAYA – Hubungan di antara Malaysia dan China boleh diumpamakan seperti pepatah Melayu, ‘air dicincang tidak akan putus’.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ikatan antara Malaysia dan China diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai.
“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit. Segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau mengulas kunjungan Presiden China, Xi Jinping bersama delegasinya pada majlis makan malam di Kediaman Rasmi Perdana Menteri di Seri Perdana, Putrajaya petang semalam.
Anwar berkata, Jinping dan delegasi China menghadiri majlis sempena lawatan negara ke Malaysia itu dalam suasana persahabatan.
Jelas Anwar lagi, ia merupakan lawatan negara yang pertama sejak 12 tahun lalu oleh Jinping.
“Ini adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin sejak sekian lama.
“Keakraban ini terus utuh dan diperkukuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran,” katanya. – KOSMO! ONLINE