Saat hayatnya, negarawan terbilang, Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menukilkan puisi yang mengesankan, Ku Cari Damai Abadi, kini beliau telah benar-benar damai bersemadi pulang ke alam abadi.
‘Pak Lah’ meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pukul 7.10 malam kelmarin.
Seluruh negara mengenang pemergian insan hebat penuh jasa ini. Kosmo! juga mempunyai sejarah tersendiri dengan Allahyarham kerana Perdana Menteri ke-5 itulah yang telah melancarkan akhbar kompak ini pada 30 Ogos 2004.
Allahyarham seorang pemimpin yang merendah diri dan bersederhana dalam tindakan serta tutur kata. Sikap itu bagaimanapun tidak menghalang Allahyarham daripada bertegas, terutama dalam usaha membasmi rasuah dan mahu pentadbirannya telus serta berintegriti.
Allahyarham cukup mementingkan ketelusan. Beliau bahkan tidak gemar ‘disogok’ dengan cerita-cerita elok sahaja.
Allahyarham pernah berkata: “Beritahu saya perkara yang sebenar. Kadang-kadang orang tidak memberi maklumat benar, takut Pak Lah akan menangis, takut susah hati, tidak boleh tidur.
Saya bersedia, boleh dan sanggup mendengar apa yang benar, kalau tidak sanggup tidak payah jadi pemimpin.”
Ramai menyifatkan dirinya juga seorang yang tenang, penyabar dan berakhlak mulia.
Pernah juga diceritakan oleh bekas pegawai khas beliau, Datuk Jefri Atan, Pak Lah mudah didekati dan mudah mesra walaupun kali pertama berjumpa, suka bersahabat dan bermasyarakat.
Allahyarham paling tidak suka perbuatan mengata, mencaci, menghina, mengutuk dan memburukkan orang lain, namun begitu, beliau tetap terus bersahabat.
Andai ditelusuri, keperibadian pengasas gagasan Islam Hadhari ini sendiri menjadi perlambangan keseimbangan duniawi dan ukhrawi serta kesederhanaan.
Dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas, Pulau Pinang, beliau dibesarkan dalam persekitaran keagamaan sementelah bapanya, Ahmad Badawi dan datuknya, Sheikh Abdullah Fahim ialah ulama terkenal.
Namun, Allahyarham turut diberi pendidikan di Sekolah Lelaki Methodist, Pulau Pinang dan pada sebelah petangnya mengikuti pendidikan agama di Sekolah Menengah Daeratul Maarif Wataniah, Kepala Batas.
Allahyarham berdarah keturunan Arab pada sebelah bapa, manakala ibunya, Datuk Khailan Hassan berdarah keturunan Cina Muslim. Hidup dalam suasana kampung, Allahyarham turut gemar menangkap ikan, bermain layang-layang dan membajak sawah seperti anak kampung.
Allahyarham memperlengkap ilmu agamanya dengan meraih Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam di Universiti Malaya. Bicara seorang yang berpegang kuat kepada agama juga dapat dilihat menerusi ucapannya ketika diangkat menjadi PM.
“Pada petang Jumaat, 31 Oktober 2023 bersamaan 5 Ramadan 1424 Hijrah dengan ketentuan Allah SWT saya telah mengangkat sumpah jawatan sebagai PM Malaysia ke-5. Penentuan tersebut memperkukuh betapa kebesaran Ilahi. ketahuilah bahawa Allah SWT adalah berkuasa dan mentakdirkan segala-galanya,” katanya.
Personaliti baik serta membawa negara ke era mood feeling good juga telah menyebabkan diri dan idea-ideanya mudah diterima masyarakat sehingga membawa kepada kejayaan luar biasa pada Pilihan Raya Umum 2004 iaitu pilihan raya pertama beliau sebagai PM.
Barisan Nasional menang 198 daripada 220 kerusi Parlimen dan kemenangan ini dianggap sebagai mandat besar terhadap kepimpinan beliau dan dasar-dasar yang diperkenalkan, termasuk Islam Hadhari yang menekankan keserasian Islam dengan pembangunan ekonomi dan teknologi.
Antara prinsip Islam Hadhari ialah keseimbangan antara dunia dan akhirat, antara ibadah khusus dan kemajuan negara seperti yang terkandung dalam seruan azan ‘marilah sembahyang’ dan ‘marilah menuju kejayaan’.
Islam Hadhari yang menjadi dasar kerajaan Malaysia, menjelaskan lagi konsep Islam sebagai way of life (Islam sebagai ad-din) kepada seluruh rakyat yang hidup dalam kepelbagaian bangsa, bahasa dan agama.
Konsep ini juga menekankan kepada pembangunan secara sepadu, adil, toleransi dan melawan ekstremisme.
Buku berjudul Jalan Ke Puncak Abdullah Ahmad Badawi tulisan Sivamurugan Pandian menyimpulkan, lazimnya, kepimpinan baharu akan dipenuhi syak wasangka dan orang ramai mengambil sikap berhati-hati sehingga benar-benar berpuas hati dengan corak, gaya dan agenda kepimpinan baharu, namun kepimpinan Pak Lah berjaya dalam satu tempoh waktu yang singkat.
“Ketegasannya tercermin dalam kesederhanaan dirinya. Anjakan baharu jelas dengan pendekatannya, Itulah keistimewaan Mr. Nice Guy. Kesemua ini dilakukan kerana menganggap dirinya bukan sahaja pemimpin beragama Islam tetapi juga sebagai Perdana Menteri negara Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum.
“Abdullah sendiri merupakan faktor kemenangan parti BN (Barisan Nasional) dan UMNO. Maka, bermulalah Era Badawirisme yang berpaksikan gagasan ‘cemerlang, gemilang, terbilang’ demi kesejahteraan masa depan agama, bangsa dan tanah air ke arah pembentukan masyarakat kelas pertama, masyarakat cemerlang,” tulis buku itu.
Menyorot kerjaya politik, Abdullah menyertai UMNO pada 1964. Ahli Parlimen Kepala Batas itu dilantik sebagai Perdana Menteri kelima pada 2003 dan menerajui pentadbiran negara selama enam tahun.
“Jangan bekerja untuk saya, tetapi mari bekerja bersama-sama saya’. Itu antara kata-kata keramat Pak Lah.
Beliau mahu semua lapisan masyarakat bekerja bersama-sama dengannya untuk membangunkan negara dan bukannya bekerja untuk kepentingan diri ataupun mendapatkan perhatian semata-mata.
Selain Islam Hadhari, sepanjang enam tahun memimpin kerajaan, Pak Lah telah melaksanakan empat teras lain di bawah pentadbirannya iaitu Misi Nasional, Pelan Integriti Nasional, Pembangunan Koridor Ekonomi dan Pembangunan Modal Insan.
Kesemua teras pentadbiran itu telah menggerakkan negara untuk mencapai kemajuan dalam pelbagai sudut sehingga membolehkan kita menikmati kemanisannya pada hari ini.
Dari sudut pembangunan ekonomi, Pak Lah telah melaksanakan pembangunan lima Koridor Wilayah pada 2008 yang merangkumi Wilayah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Sehingga kini, koridor-koridor tersebut memainkan peranan yang sangat penting dalam merancakkan ekonomi setempat di samping menyumbang pertumbuhan ekonomi negara.
Ia sekali gus mencapai matlamat utama pelaksanaannya iaitu merapatkan jurang pendapatan antara rakyat supaya pertumbuhan dan kekayaan negara dapat diagih untuk semua masyarakat di negara ini tidak mengira di bandar mahupun luar bandar.
Di samping itu, Pak Lah juga merupakan figura penting yang meletakkan Malaysia selaku peneraju halal global yang cukup dikagumi di serata dunia pada ketika ini.
Bagi menghargai sumbangan besarnya dalam industri halal di negara ini, Pak Lah telah diangkat sebagai sebagai penerima Anugerah Khas Tokoh Pembangunan Halal Negara sempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2024 tahun lalu.
Tidak hanya itu, ketika era pentadbirannya, Tun Abdullah turut menentang keras isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehingga beberapa inisiatif telah dilaksanakan seperti pelancaran Pelan Integriti Nasional (PIN) dan penjenamaan semula Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
PIN yang ditubuhkan pada 23 April 2004 memberi fokus kepada pembentukan budaya dan integriti dalam kalangan rakyat. Rentetan itu, Institut Integriti Malaysia ditubuhkan sebagai agensi pemantauan pelaksanaan PIN.
Pada Perhimpunan Agung UMNO pada Mac 2009, Allahyarham membuat keputusan untuk tidak mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti seterusnya menarik diri daripada menjadi Perdana Menteri.
Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Datin Seri Endon Mahmood pada 1965 dan dikurniakan dua cahaya mata, Datuk Kamaluddin serta Nori.
Pada 20 Oktober 2005, Endon meninggal dunia akibat kanser payu dara. Abdullah kemudian berkahwin dengan Tun Jeanne Abdullah pada 9 Jun 2007.
Selepas tidak lagi memegang jawatan Perdana Menteri, Abdullah sudah tidak membabitkan diri dalam bidang politik sebaliknya dilihat sekadar memilih menjadi pemerhati.
Pemergian Allahyarham yang banyak berjasa ternyata satu kehilangan besar buat negara. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Al-Fatihah.















