SEPERTI irama dan lagu yang tak dapat dipisahkan, jika dipisahkan pincanglah lagu dan rosaklah seni. Begitu juga nyawa, jiwa dan badan yang selama ini menghidupkan kita sebagai manusia.
Jika terputus nyawa dari badan, hilanglah sebuah kehidupan. Jika terhapus jiwa tetapi bernyawa, badan yang hidup juga serasa mati, seribu raya sekali pun menjelang, sudah tak bererti lagi keraian pada diri.
Sudah hampir dua minggu Hari Raya Aidilfitri berlalu, namun sehingga hari ini impaknya barangkali masih basah dalam ingatan kita semua.
Ada yang meratapi raya dengan sejuta tangis dek kehilangan insan-insan tersayang, baik akibat derita sakit atau nahas tragis di jalan raya dan ada yang beraya sekadar merenung pada langit bertahmid dan bertakbir meratap kehilangan harta benda yang musnah akibat banjir dan kebakaran.
Hilang nyawa anggota keluarga, musnah harta benda membuatkan tubuh-tubuh insan terpilih yang masih hidup menerima ketentuan berwalang hati menyambut hari kebesaran dalam kesayuan.
Tubuh masih bernyawa tetapi jiwa hilang entah ke mana, raya sudah tidak lagi bererti, segalanya pincang seperti lagu tidak berirama.
Kehilangan juga bukan hanya tentang kematian, boleh jadi hilang rasa oleh permasalahan hidup. Yang jatuh ditimpa tangga atau yang terduduk dihimpit sesal, semua itu mendatangkan kecamuk yang sukar menemukan keikhlasan.
Untuk mangsa-mangsa tragedi raya yang masih bernyawa, walaupun keperitan lebih banyak berbanding daripada keseronokan, bertahanlah untuk bersyukur juga kerana masih dipanjangkan nyawa untuk terus berjuang dalam kesakitan. Setidak-tidaknya, mungkin ada rahsia yang belum Tuhan tunjukkan, mungkin. Kita wajar bersangka baik walau sering ketika merintih kejamnya takdir.
Raya tahun ini pasti tidak akan dilupakan para mangsa kecelakaan jalan raya mahupun kebakaran kediaman, bahkan kehilangan kawan atau pasangan akibat persengketaan dan perceraian juga boleh membunuh makna keraian hari lebaran.
Untuk tahun-tahun akan datang, apa yang berlaku tahun ini pasti akan berpulang sebagai kenangan, pahit atau manis, semuanya terpulang ikut keadaan.
Untuk kita yang semuanya okey, raya biasa-biasa, masih boleh ketawa dan senyum menjalani rutin seharian hingga pertengahan Syawal tanpa banyak gendala, syukur.
Bersyukur atas rahmat dan kasih sayang Tuhan yang masih bersisa untuk kita, biarpun sudah banyak dosa berumah di dalam jiwa.
Ada antara kita mungkin berasakan raya tidak sempurna sepenuhnya, tidak bersuka-suka semacam riuh tarian trending Serumpun atau Meriah Lain Macam di dalam TikTok, tidak mampu bercuti atau bertukar langsir perabut baharu, tidak balik kampung dek terhalang keadaan, tidak boleh berhimpun sesama keluarga saat kudrat kesihatan tidak mengizinkan, syukur juga masih ada raya mengisi pincang jiwa yang masih bernyawa.
Raya hari kemenangan tetapi kita belum menang semenang-memangnya. Kita ini pejuang dan masih berjuang sehingga hari ‘kemenangan’ hakiki mendatang.














