PONTIAN – Tiada apa yang mampu diungkapkan seorang bapa selain meluahkan rasa rindu kepada anak kandungnya yang sudah 18 tahun tidak bersama-sama untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Omar Yuhyi, 71, anak kelimanya iaitu Sheikh Faizan Omar, 37, atau lebih mesra dengan panggilan Pak Tam kini masih menjalani hukuman penjara di Taiwan sejak 2007.
“Hati ayah mana yang tidak rindukan untuk peluk dan cium anak kandungnya, tetapi apakan daya, takdir sudah tertulis dalam kamus hidup saya untuk ‘berpisah’ dengan Pak Tam.
“Saya tetap tunggu penuh sabar dan yakin dia akan pulang suatu hari nanti. Kami pasti akan bertemu semula,” katanya ketika ditemui Kosmo! dirumahnya di Kampung Paya Embun, Pekan Nanas, di sini, baru-baru
ini.
Omar berkata, kerinduannya bagaimanapun sedikit terubat apabila dapat menatap wajah anaknya itu awal bulan ini apabila Pak Tam membuat panggilan video menerusi aplikasi WeChat.
Katanya, jika sebelum ini, perutusan khabar hanya dapat dibuat menerusi panggilan suara dan surat.
“Alhamdulillah, awal bulan ini saya dapat menatap wajahnya melalui panggilan video setelah hampir 18 tahun tak tengok wajahnya.
“Semua adik beradik dia juga masuk dalam panggilan video itu, kami bersyukur dapat menatap raut wajahnya.
“Walaupun panggilan video hanya terbatas selama 30 minit sahaja, namun cukup mengubat kerinduan kami sekeluarga lebih-lebih pada bulan puasa baru-baru ini,” jelasnya dengan linangan air mata.

Omar berkata, apa yang menyedihkan apabila isterinya, Hadiah Gondet tidak dapat melihat wajah anak mereka kerana sudah bertemu Ilahi sejak lima tahun lalu.
Mengimbas kembali episod hitam yang menimpa Sheikh Faizan pada 24 Mac 2007, Pak Tam yang ketika itu berusia 19 tahun ditahan di Taipei, Taiwan kerana dipercayai menjadi mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik operasi menghantar barangan kristal.
Ketika itu, dia ditahan polis Taiwan kerana disyaki membawa heroin seberat 2.141 gram dalam sebuah beg miliknya ketika mahu berlepas pulang ke Malaysia.
Pak Tam kemudian dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup pada 24 Jun 2007 oleh sebuah mahkamah di Taiwan dan sehingga kini masih gagal mendapatkan pengampunan bagi membolehkan dia dibebaskan.
Dalam pada itu, Omar turut berharap Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat membantu membebaskan anaknya dari Taiwan.
“Saya pun tidak mahu lihat Pak Tam terus meringkuk di dalam penjara seumur hidup di negara asing, dari segi makan minum, kesukaran bertutur, ruang untuk menjalankan tuntutan agama dan sebagainya,” jelasnya.
Sementara itu, abang Pak Tam, Shake Fairul, 41, berkata, daripada perbualan panggilan video, adiknya itu memaklumkan telah mencapai point kedua tertinggi bagi membolehkan dia dibebaskan selepas ini.
Katanya, pengiraan penjara seumur hidup di sana (Taiwan) tidak sama di Malaysia. Sekurang-kurannya untuk 25 tahun berdasarkan kepada laporan yang diterima oleh pihak penjara seperti kelakuan baik dan sebagainya.
“Saya berharap, ia menjadi kenyataan kerana ayah saya semakin uzur kerana sakit angin ahmar. Bimbang juga jika tidak dapat menatap wajah Pak Tam dan menemuinya buat kali terakhir,” katanya.














