JOHOR BAHRU – Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi menyertai operasi pemeriksaan bagi memastikan tiada pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing di sekitar bandar raya ini semalam.
Beliau berkata, pihak pengusaha stesen minyak turut diperiksa dalam operasi tersebut bagi memastikan kerjasama semua pihak terlibat dalam menguatkuasakan undang-undang berkenaan.
“Kami meneliti pematuhan pengusaha stesen minyak terhadap larangan penjualan RON95 kepada warga asing serta memastikan harga yang dikenakan tidak melebihi harga siling RM2.05 seliter.
“Selain itu, had pengisian diesel sebanyak 20 liter bagi kenderaan asing dalam radius 50 kilometer dari sempadan turut diperiksa bagi memastikan peraturan dipatuhi sepenuhnya,” katanya selepas mengikuti operasi pemeriksa di beberapa stesen minyak sekitar bandar raya ini, semalam.
Onn Hafiz berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dengan menjual RON95 kepada kenderaan asing atau menaikkan harga melebihi kadar ditetapkan. – KOSMO! ONLINE














