Ikan jenahak atau lebih dikenali sebagai ‘bantal emas’ merupakan satu nama panggilan daripada pemancing tempatan apabila ikan ini mencapai saiz besar tertentu. Ada yang mengatakan melebihi 3 kilogram (kg) dan ada yang kata melebihi 5kg.
Bentuknya yang gemuk, tebal dan padat apabila bersaiz kasar menyebabkan ia dipanggil ‘jenahak bantal’.
Biasanya, warna ikan ini berubah menjadi keemasan yang berkilau apabila terkena panahan cahaya lampu, lantas ditambah dengan panggilan ‘jenahak bantal emas’.
Ikan ini menjadi sasaran utama jika turun di laut sebelah Selat Melaka, tidak kira dengan teknik pancingan apa-apa pun, baik bottom mahupun jigging.
Baru-baru ini, saya dipelawa untuk menyertai trip memancing oleh salah seorang sahabat, Mohd. Kamarul Asri Kamal atau lebih dikenali sebagai As dalam kalangan kenalan untuk turun ke Sungai Pelek bagi merasai pengalaman pancing dasar di bulan Ramadan.
Trip ini turut disertai oleh Botak dan Along yang merupakan kenalan As. Usai trip ini, mereka berdua turut menjadi sahabat saya.
Tekong Sungai Pelek
Kami memilih menggunakan khidmat bot Man Saka yang memiliki pengalaman luas di perairan Sungai Pelek, sekali gus membuatkan As dan rakan-rakan kerap menggunakan khidmatnya.
Pernah trip mereka berjaya menaikkan belasan ikan jenahak bantal dalam masa kurang dari tiga jam memancing di Sungai Pelek.
Namun, jika ingin menggunakan khidmat Man Saka sebagai tekong, anda haruslah mengikut jadual kerjanya.

Dia hanya membuat servis tekong ketika waktu cuti sahaja kerana hanya membawa bot secara sambilan.
Alun tidak ‘berkawan’
Saya dan As tiba di jeti Sungai Pelek pada pukul 5 petang. Man Saka menunggu di dalam bot sambil berehat.
Botak dan Along masih lagi di dalam perjalanan, mereka berdua terlebih dahulu singgah di Klang untuk mengambil umpan hidup sotong kurita dan udang lipan.
Hasrat saya untuk berbuka puasa di tengah laut terbantut apabila Along dan Botak tersekat dalam kesesakan lalu lintas. Mereka berdua hanya sampai pada pukul 8 malam.
Bot terus dipacu ke destinasi pancingan pertama sebaik mereka sampai.
Malangnya, berlaku kerosakan teknikal pada enjin berkuasa 125hp membuatkan tekong terpaksa berpatah balik untuk tukar bot lain.
Kami keluar semula dari jeti pada pukul 10 malam, namun keadaan alun dan angin yang kuat menyukarkan perjalanan kami.
Hanya pada pukul 11.30 malam baru umpan dapat mencecah air.
Bantal emas
Keadaan alun dan angin kuat amat menyukarkan kami melabuhkan umpan pada ‘zon sasaran’.
Teknik loading dasar menjadi pilihan kami dengan menetapkan jarak tali setiap kali umpan turun mencecah dasar, dengan harapan umpan akan terus masuk ke kawah atau lubang yang didiami jenahak bantal.
Menurut Man Saka, penggunaan peralatan pancing berkekuatan aksi sederhana (PE3-5), mesin elektrik bersaiz 500, tali utama berkekuatan 50 hingga 80 paun (lb) yang disambung kepada ‘tanduk’ (spreader) besi dan perambut mono atau fluorocarbon berkekuatan 60 hingga 100lb disarankan.
Dua mata kail adalah perlu dengan saiz di antara 4/0 hingga 6/0 ini bertujuan untuk mengurangkan kejadian lucut ketika ikan mengambil umpan.
Selain umpan yang dibeli, kami juga mencandat sotong cumit sebagai ‘insurans’ jika tiada sambaran.
Hampir dua jam kami dialun ombak, hanya pada pukul 2 pagi sambaran pertama berjaya diperolehi As.
Bantal emas seberat 3.6kg berjaya dinaikkan setelah beberapa kali discam (getuan ikan yang tidak tercangkuk mata kail) dengan menggunakan umpan sotong cumit yang dicandat.
Selang sejam kemudian, giliran Along pula memperolehi sambaran, namun ia bukan spesies sasaran, sebaliknya seekor ikan yu pasir yang meragut umpan udang lipan.
Selepas itu suasana menjadi sunyi, kami hanya menahan lambungan alun sambil melayan lagu-lagu nyanyian sifu M. Nasir sehingga waktu bersahur.
Jenahak makan pagi
Ketiadaan sambaran menyebabkan tekong beberapa kali berpindah lokasi, namun semuanya menghampakan.
Sehinggalah pada lubuk yang terakhir, Botak berjaya menaikkan spesies sasaran yang bersaiz hampir sama dengan ikan pertama malam tadi. Selepas itu, beberapa kali percubaan, namun semuanya tidak membuahkan hasil kerana keadaan air tidak berarus menjadi faktor utama kami menamatkan trip pada hari tersebut.
Walaupun hasil tidak mencapai sasaran, namun kami masih boleh tersenyum dengan tangkapan pada trip tersebut.
Yang pasti, saya akan kembali lagi pada masa hadapan dengan persediaan yang lebih rapi lagi.














