fbpx
Nurul Izati menawarkan perkhidmatan ‘cat visit’ di sekitar Lipis sebagai alternatif kepada hotel kucing.

Tuan balik kampung, kucing duduk rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LIPIS – Kebiasaannya menjelang Aidilfitri, kebanyakan pencinta kucing memilih untuk menggunakan khidmat hotel kucing bagi memastikan ‘si bulus’ mereka terjaga dengan baik sepanjang ketiadaan di rumah.

Bagaimanapun, berbeza de­ngan pendekatan yang diambil oleh Nurul Izati Mokhtar, 31, apabila menawarkan perkhidmatan ‘cat visit’ sebagai alternatif kepada hotel kucing.

Katanya, idea untuk menyediakan khidmat itu tercetus ketika dia mencari pendapatan sampingan dan menyedari servis lawatan ke rumah untuk haiwan peliharaan masih kurang ditawarkan.

“Saya cuba buat kajian dan lihat belum ada yang menyediakan perkhidmatan di daerah ini. Saya mula mempromosikannya di media sosial dan tidak sangka menerima sambutan yang amat menggalakkan.

“Perkhidmatan yang saya tawarkan bukan hanya terhad kepada kucing, tetapi juga haiwan peliharaan lain seperti arnab, tikus belanda, hamster, burung dan ikan perhiasan.

“Selain itu, saya juga terpaksa menolak permintaan bagi haiwan yang saya kurang selesa seperti anjing, katak dan ular,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Menurutnya, ramai pencinta haiwan mahu menggunakan ­khidmatnya kerana mereka tidak perlu risau tentang keadaan haiwan kesayangan yang berada di rumah sepanjang pulang beraya.

Katanya, bukan semua orang mahu membawa haiwan mereka pulang ke kampung bersama kerana bimbang haiwan terbabit mengalami tekanan di dalam kereta, apatah lagi dengan kese­sakan jalan raya yang lama.

“Setakat ini untuk hari raya saya telah menerima tempahan daripada 40 pelanggan untuk perkhidmatan ‘cat visit’.

“Perkhidmatan yang ditawarkan termasuk memberi makan dan minum, membersihkan bekas najis, menyapu serta membersihkan bilik kucing bergantung kepada permintaan pe­langgan.

“Ada juga pelanggan yang meminta saya bermain dengan ku­cing mereka dan mengemas kini gambar serta video sebagai bukti lawatan. Jika kerja pembersihan penuh dilakukan, ia mengambil masa kira-kira dua jam, terutama bagi rumah yang mempunyai banyak kucing,” katanya.

Selain perkhidmatan ‘cat visit’, Nurul Izati juga menyediakan servis mandian kucing pada setiap hujung minggu.

Dengan bayaran bermula dari RM35 sehari bagi setiap lawatan, dia turut mengenakan caj tambahan sebanyak RM1 bagi kawasan yang melebihi 10 kilometer dari bandar Lipis.

Seorang pelanggan, Nurul Ain Rosli, 39, berkata, dia lebih gemar menggunakan perkhidmatan ‘cat visit’ kerana ia dapat mengurangkan tekanan terhadap 14 ekor kucing peliharaannya.

Katanya, dia juga lebih yakin dengan perkhidmatan ‘cat visit’ kerana ia lebih selamat dan memastikan ‘si bulus’ berada dalam keadaan baik sepanjang dia pulang ke kampung untuk menyambut hari raya.

“Kucing saya lebih selesa berada di rumah sendiri berbanding hotel kucing. Selain itu, ia juga mengelakkan risiko penyakit berjangkit kerana kita tidak tahu sama ada kucing lain yang ditempatkan di hotel sudah divaksin atau belum.

“Tambah pula bukan semua kucing mesra dengan orang luar dan perubahan persekitaran boleh memberi kesan kepada kesihatan haiwan, sekali gus menyebabkan pemilik terpaksa menanggung kos rawatan jika haiwan kesayangan mereka jatuh sakit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN