JIKA ada yang tidak mengetahui, tanggal 18 Mac lalu Kosmo! melaporkan seorang kanak-kanak 7 tahun kehilangan anggota penting apabila tangan kirinya hancur akibat bermain mercun.
Dalam kejadian di Kuala Nerang, Kedah itu, Muhammad Zharif Daniel Norsyuwari Hariz dan adiknya, Muhammad Aiman Naufal, 4, bermain mercun berdua. Insiden itu menyebabkan tangan kiri Zharif hancur hingga pergelangan tangan, manakala pipi kanannya koyak.
Apa yang menyentuh perasaan kita ialah harapan bapanya untuk melihat suatu hari nanti Zharif menjadi seorang tentera hancur berkecai. Bahana mencun, Zharif kini terpaksa berdepan dengan kecacatan seumur hidup.
Kejadian menimpa anak kecil itu bukan baharu dan bukan kes terpencil, setiap kali menjelang Syawal, pasti ada mangsa daripada kalangan kanak-kanak cedera akibat mercun. Ada yang putus jari, melecur, malah ramai yang buta.
Hakikatnya, kita semua seakan tidak pernah mahu belajar betapa benda kecil yang mengeluarkan letupan itu sangat berbahaya terutama melibatkan usia kanak-kanak naif, tidak mahir mengendalikan bahan letupan serta tidak faham risiko kepada letupan berkenaan.
Mereka tidak tahu jenis mercun bola dan mercun telur tidak seperti mercun dan bunga api lain kerana sangat berbahaya disebabkan dibalut dengan plastik. Mercun biasa dibalut kertas.
Plastik ini apabila meletup dikatakan mampu bertindak seperti peluru hidup atau menjadi serpihan tajam yang boleh menembus mata, kulit, daging malah tulang sesiapa yang berada berdekatan sebaik sahaja meletup.
Sumbu mercun ini juga berbahaya kerana boleh terbakar dalam dan tidak kelihatan dari luar. Biasanya sumbu yang sepanjang satu inci (2.5 sm) ini terbakar perlahan, namun ada keadaan tiba-tiba terbakar pantas dan meletup.
Jika diubah suai atau meletup serentak dalam jumlah yang banyak, ibarat kata mercun bola ini boleh berstatus ‘adik’ kepada bom tangan.
Oleh sebab itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan melalui siaran Bayan Linnas Siri Ke-27 pada 24 Jun 2015 mengeluarkan hukum mercun adalah haram dan wajib dijauhi oleh umat Islam lebih-lebih lagi yang bersifat membahayakan.
Kembali kepada nasib Zharif, penulis percaya jika dikekang di peringkat awal lagi termasuk kerajaan bertindak tegas, tidak mungkin mercun berbahaya berkenaan terlepas ke tangan kanak-kanak berkenaan.
Semua ini berlaku kerana ada tangan-tangan manusia lain mengimport mercun yang jelas diharamkan oleh undang-undang penjualan di negara ini demi wang dan keuntungan.
Ada tangan-tangan penyeludup yang membawa masuk secara haram dengan pelbagai cara. Ada juga tangan-tangan penerima rasuah melepaskan mercun berkenaan ketika pemeriksaan di pintu masuk sempadan negara.
Ada juga penguat kuasa yang ‘menutup mata’ ketika bahan letupan berkenaan diedar dan dijual di kedai-kedai, kios, gerai dan sebagainya. Selain itu ada ramai peniaga segera yang konon mahu mencari rezeki tambahan menjelang sambutan Syawal.
Namun mereka ini lupa, akibat tangan-tangan tamak dan haloba mereka, Zharif kehilangan tangannya seumur hidup. Mereka ini akan menanggung dosa dunia dan akhirat selagi Zharif tidak maafkan. Semoga akhir Ramadan ini membawa keinsafan kepada kita semua.














