GOLONGAN yang hari gajinya jatuh pada 7 hari bulan pastinya berkira-kira untuk membuat persiapan raya. - GAMBAR HIASAN

Geng gaji 7hb korek syiling belanja raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TINGGAL seminggu sahaja lagi umat Islam di negara ini bakal meraikan Hari Raya Aidilfitri selepas mengharungi pelbagai ujian dan cabaran sepanjang Ramadan.

Kedatangan Syawal pastinya akan disambut dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran oleh umat Islam tanpa mengira status kaya atau miskin.

Kebiasaannya, apabila menjelangnya hari lebaran, umat Islam mula sibuk melakukan persiapan seperti membeli pakaian baharu, menyediakan aneka biskut raya dan makanan serta menghias rumah.

Bagi para perantau pula, kedatangan Syawal merupakan waktu terbaik untuk pulang ke desa untuk merayakannya bersama insan-insan tersayang.

Hakikatnya, bagi melakukan segala persiapan raya atau membuat perjalanan jauh pulang ke kampung halaman, kita memerlukan wang.

Memandangkan Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini dijangka pada 31 Mac atau 1 April, maka mereka yang hari gajinya jatuh pada 25 dan 30 hari bulan pastinya boleh menarik nafas lega.

Ini kerana, golongan tersebut masih boleh menggunakan duit gaji yang diperolehi untuk membuat persiapan pada saat-saat akhir nanti.

Bagaimanapun, ada segelintir golongan yang hari gajinya jatuh pada 7 hari bulan. Mereka ini pastinya berkira-kira sedikit untuk membuat persiapan raya.

Baru-baru ini, penulis menerima satu panggilan telefon daripada seorang rakan karib yang bekerja di salah sebuah kilang di Utara Semenangjung.

Dia merungut, majikannya tetap akan mengeluarkan gaji pada tanggal 7 April, biarpun ramai pekerja di situ mendesak gaji diberikan lebih awal bagi membolehkan mereka menyambut lebaran.

Daripada nada suaranya, penulis faham dia pasti bimbang dan risau sekiranya gagal membelikan pakaian baharu kepada isteri serta anak-anaknya menjelang hari raya nanti.

Menjengah ke ruang media sosial, penulis terkejut apabila mendapati ramai rupanya golongan yang gajinya jatuh pada 7 hari bulan mengadu nasib masing-masing.

Ada yang membuat video korek tabung syiling untuk membuat persiapan hari raya. Ada pula yang memilih untuk memakai semula pakaian raya tahun lepas dengan berlatarbelakangkan muzik raya melucukan.

Biarpun penulis tidak berada dalam situasi golongan ini, namun kebanyakan daripada kita pastinya dapat merasakan keperitan berhari raya dalam keadaan tiada duit.

Justeru itu, penulis sangat berharap, para majikan kepada golongan yang gajinya jatuh pada tujuh hari bulan ini dapat memberi berita baik kepada pekerja mereka.

Sekiranya tidak boleh memberikan duit gaji penuh kerana masih tidak cukup sebulan bekerja, namun majikan perlu mempertimbangkan pemberian advance (wang pendahuluan).

Biarpun wang yang diterima kurang daripada gaji sebenar, namun ia sekurang-kurangnya dapat memberikan kelegaan kepada mereka yang ingin meraikan hari raya nanti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN