fbpx
EMAS sering kali dilihat sebagai aset yang selamat bagi pelabur. - GAMBAR HIASAN

2025, tahun melabur emas?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EMAS sering kali dilihat sebagai aset yang selamat bagi pelabur, terutamanya dalam suasana kemeruapan ekonomi global kini yang berdepan risiko perang dagangan, ketidaktentuan dasar monetari bank pusat, cabaran inflasi, dan kenaikan kos sara hidup.

Terdapat pelbagai faktor menyokong jangkaan kenaikan harga emas tahun ini, selain daripada rekod prestasinya dalam jangka masa panjang.

Dengan jangkaan ramai penganalisis bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat bakal menurunkan kadar faedah tahun ini, harga emas dilihat boleh meningkat apabila pelabur mencari aset yang boleh menyediakan perlindungan nilai daripada penyusutan mata wang.

Logam berharga itu juga sering digunakan sebagai alat lindung nilai terhadap inflasi, jadi sekiranya kadar inflasi kekal tinggi, permintaan untuk emas juga mampu melonjak.

London Bullion Market Association (LBMA) dalam Tinjauan Tahunan Ramalan Logam Berharga 2025, melibatkan 30 penganalisis menjangkakan harga purata emas sekitar AS$2,736.7 per auns tahun ini, iaitu 14.7 peratus lebih tinggi berbanding harga purata emas pada tahun 2024.

Harga emas spot setakat Jumaat lalu juga memperlihatkan ia kini didagangkan pada paras harga yang tinggi, iaitu sekitar AS$3,029 per auns.

Secara keseluruhan, ramalan LBMA menunjukkan sentimen positif terhadap harga emas tahun ini, dengan jangkaan bahawa faktor seperti dasar monetari, permintaan daripada bank pusat, dan ketidakstabilan geopolitik akan terus memainkan peranan penting dalam menentukan arah harga emas.

Dalam tinjauan berkenaan, tiga pemacu utama dikenal pasti bakal mempengaruhi harga emas ialah polisi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (28 peratus), permintaan bank pusat (21 peratus) dan risiko/ketidaktentuan geopolitik (15 peratus).

Chantelle Schieven dari Capital Research dalam komentarnya berkata, banyak faktor serupa yang telah memacu harga emas lebih tinggi pada 2024 berkemungkinan besar bersifat positif untuk emas pada 2025.

Pada masa sama, kita perlu sentiasa berhati-hati dan memahami risiko yang terlibat dalam setiap pelaburan, sambil memastikan strategi pelaburan adalah sejajar dengan matlamat kewangan serta toleransi risiko masing-masing.

Antara strateginya ialah pelaburan secara berkala dengan membeli emas secara konsisten pada selang masa tertentu, yang juga dikenali sebagai Dollar-Cost Averaging yang boleh mengurangkan risiko turun naik harga.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Syed Hamadah Syed Othman sebelum ini memberitahu pihaknya tidak melihat kepada pelaburan emas tahun ini, memandangkan ia tidak termasuk aset yang diluluskan Lembaga Pengarahnya.

Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Louis Ng berkata, berdasarkan analisis pasaran emas global, pihaknya turut meramalkan kemungkinan kenaikan harga emas akan berlanjutan jika keadaan semasa berterusan.

“Ini adalah kerana faktor geopolitik, serta polisi perdagangan dan tarif di Amerika Syarikat terutamanya, memainkan peranan yang penting terhadap turun naik harga pasaran emas global.

“MGA akan menganjurkan pameran emas di Pulau Pinang bukan hanya untuk segmen perniagaan-ke-perniagaan, malah terbuka kepada pasaran pengguna untuk menarik pembeli domestik dan antarabangsa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN