fbpx
WARNA dan jenis bingkai khat seharusnya disesuaikan dengan konsep kediaman. – SADDAM YUSoFf

Dinamika dekorasi bingkai islamik khat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RATA-RATA pemilik rumah yang beragama Islam  mempunyai hiasan khat atau bingkai islamik yang menjadi sebahagian daripada dekorasi di ruangan kediaman mereka.

Tidak hanya itu, khat juga menjadi pelengkap dekorasi di pejabat, ruang solat dan ibadat selain masjid atau surau.

Kepelbagaian rekaan khat sedia ada pada masa kini menjadikannya boleh dipadankan dengan kepelbagaian konsep rumah sama ada moden, klasik atau Barat.

Berkongsi idea dekorasi untuk khat, Ketua Pegawai Eksekutif Dians Signature, Muhammad Khairulazman Moh Pardon berkata, dalam menata dekorasi rumah, pemadanan karya khat perlu sesuai dengan saiz ruang, konsep dan tema.

“Hari ini, seni khat telah dizahirkan dalam kepelbagaian rekaan yang menjadi sebahagian daripada dekorasi rumah dan bukan sekadar hiasan. Malah, menjadi medium ilmu untuk mendekatkan diri dengan Pencipta.

“Bagi memadankan khat dengan dekorasi, perkara utama yang perlu diambil perhatian adalah memilih rekaan bingkai islamik bersesuaian mengikut tema rumah, penataan rona serta saiz ruang.

“Ia bagi memastikan ruang tidak janggal atau nampak berbeza dengan konsep keseluruhan,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Galeri Dians Signature, Seksyen 7, Shah Alam Selangor baru-baru ini.

Muhammad Khairulazman yang menjalankan perniagaan bersama isteri, Dianah Hanani Abdullah berkata, penetapan rekaan bingkai khat bersesuaian akan diterapkan menerusi sesi konsultasi dan penelitian ruang.

MUHAMMAD KHAIRULAZMAN dan Dianah berkongsi tip dekorasi bingkai islamik khat

Untuk memadankan konsep ruangan, biasanya cadangan pemilihan rekaan bingkai khat akan dilakukan berdasarkan tema sama ada moden, klasik atau lain-lain.

Biasanya, untuk teman moden, rekaan bingkai islamik akan lebih minimalis dan rona putih atau hitam.

Berbeza pula dengan gaya klasik yang lebih sesuai dipadankan dengan rekaan berukir dalam warna kayu serta rona coklat.

“Bahan bingkai juga memainkan peranan dalam menghidupkan tema dalam hiasan khat, di mana kayu dalam warna asal iaitu perang lebih sesuai dipadankan untuk tema tradisional atau rumah ladang.

“Sementara kayu dengan warna putih atau pastel boleh dipadankan untuk deko ala English Garden.

“Akrilik dan kaca pula sesuai untuk ruangan yang moden dan minimalis, namun begitu olahan rekaan dan warna boleh dipadankan untuk tema lain seperti industri dan kontemporari,” ujarnya.

Untuk makluman,  Muhammad Khairulazman sudah berkecimpung dalam dunia perniagaan sejak tahun 2016 sebelum memberi fokus kepada pembuatan dan penjualan bingkai islamik khat pada tahun 2020.

Kongsinya, saiz ruang juga perlu diambil perhatian dalam memadankan hiasan bingkai islamik dan khat di kediaman atau lain-lain.

UNTUK ruangan solat dalam kediaman, susunan bingkai khat boleh diletakkan dalam bentuk panel mengelilingi ruang.

Jelasnya, bagi ruangan yang kecil, hiasan islamik tidak perlu diletakkan dalam kuantiti yang banyak, cukup sekadar dua hingga tiga unit pada saiz sederhana atau kecil.

Sementara itu, bagi ruangan yang besar pula, bingkai islamik boleh diletakkan dalam pelbagai saiz, malah untuk saiz lebih besar boleh dijadikan sebagai tarikan utama atau feature wall.

“Jumlah hiasan yang bersesuaian adalah penting bagi memastikan ia tidak terlalu sarat atau menjadikan ruangan kelihatan kecil.

“Bagi ruangan solat pula, susunan bingkai khat boleh diletakkan dalam bentuk panel mengelilingi ruang. 

“Ia bagi menghidupkan jiwa islamik serta keindahan ruang ibadat,” ujarnya yang memulakan koleksi khatnya dengan bingkai jam dan kalimah Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

Tuturnya lagi, di sebalik menyesuaikan hiasan bingkai islamik dengan tema, warna dan ruang, perkara utama yang perlu diambil perhatian sebelum menghias ruang adalah mengenal pasti kesahihan kalimah dalam khat tersebut.

Hal ini perlu diambil perhatian kerana terdapat sebahagian khat di pasaran dihasilkan menggunakan kalimah tidak tepat dari segi ejaan serta makhrajnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN