BERDEPAN dengan cabaran kesihatan mental bukanlah sesuatu yang diminta oleh Anita Abu Bakar.
Namun begitu, pada tahun 2014, takdir telah tertulis di mana dia diuji dengan isu kesihatan tersebut.
Anita didiagnosis dengan masalah anxiety disorder ataupun kebimbangan yang melampau.
“Penyakit mental anxiety ada pelbagai, tetapi secara spesifik saya berdepan masalah serangan panik.
“Dalam situasi ini, saya bukan hanya rasa resah, gelisah dan bimbang sahaja, malah saya juga akan ada perasaan panik.
“Serangan panik yang berterusan ini telah menyebabkan saya menjadi kemurungan,” kata Anita yang juga merupakan Pengasas dan Presiden Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) Malaysia.
Berdepan cabaran kesihatan mental itu bukanlah sesuatu yang mudah dan pada enam bulan pertama, Anita dapat merasakan dia betul-betul menempuhi situasi yang sukar pada waktu itu.
Dia sendiri tidak mempunyai ilmu tentang penyakit mental ketika itu dan tidak tahu kepada siapa harus dirujuk untuk mendapatkan pertolongan.
Pada bulan pertama mengalaminya, Anita menyatakan dia sudah hilang fungsi dalam kehidupan.
“Ketika itu saya tidak boleh berfungsi sebagai seorang manusia yang normal, saya tidak boleh jaga anak, kemas rumah, takut untuk berjumpa dengan orang.
“Malah, saya sendiri rasa sukar untuk bernafas dan ia amat melemahkan saya dan ini adalah saya punya cabaran pada awalnya,” ujar ibu kepada dua anak itu kepada K-Wanita.
Anita yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sistem Maklumat Komputer dari Universiti Tulsa di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS) pernah bekerja di negara Uncle Sam tersebut selama tujuh tahun sebagai jurutera aplikasi.
Selepas itu, dia pulang ke Malaysia dan berkhidmat dalam sektor perbankan selama 10 tahun sebelum mengambil keputusan untuk berhenti dan bekerja sendiri.
Dia kemudian bekerja sendiri dengan menubuhkan Qaiser Darussalam iaitu ‘enrichment centre’ yang menjual buku-buku Islamik dan mengajar pendidikan Islam untuk kanak-kanak dan mualaf.
Ekoran Anita didiagnosis dengan penyakit mental telah menyebabkan dia tidak mampu untuk menguruskan perniagaannya.

Berkongsi memori menyambut Hari Raya Aidilfitri semasa bergelut dengan isu kesihatan mental, Anita berkata, ketika fasa awal didiagnosis isu kesihatan mental dia rasa takut apabila tibanya hari raya.
“Saya ada perasaan takut dan bimbang kerana apabila raya kita akan berkumpul dengan keluarga dan sanak saudara.
“Tambahan pula, emak saya adalah anak sulung daripada 11 adik-beradik dan sudah semestinya ramai yang berkunjung ke rumah keluarga saya.
“Saya takut dan menjadi panik pada hari raya waktu itu dan saya tidak tahu bagaimana hendak berkomunikasi sedangkan sebelum ini saya boleh dikatakan individu yang berkeyakinan tinggi,” jelasnya.
Tambahnya, apabila berdepan isu kesihatan mental, perasaan takut dan malu pada ketika itu melampaui segala-galanya.
Bahkan, bukan hanya pada hari raya, jika ada sebarang perjumpaan keluarga, dia tidak boleh berhadapan situasi itu dan banyak menghabiskan masa di dalam bilik.
Lebih dua tahun masa diambil olehnya untuk memahami isu kesihatan mental yang dihadapinya dan kembali berdiri dengan kaki sendiri. Dia perlu memahami akan masalah itu bagi membolehkannya melangkah menjalani proses penyembuhan. Berkat sokongan keluarga, Anita berjaya menempuh dugaan itu dan pulih.
“Jika saya bercakap tentang penyakit mental, ia tiada konsep pulih sepenuhnya dan saya sebenarnya hidup dengan penyakit mental.
“Dalam proses penyembuhan, apa yang boleh saya katakan secara rumusannya saya boleh mengurus penyakit mental saya ini dan melaksanakan apa yang saya ingin laksanakan dan berjaya seperti orang lain,” ujarnya yang dilahirkan di London dan dibesarkan di Itali.
Anita mengakui dia mempunyai limitasi tertentu yang boleh menyebabkan simptom-simptom masalah itu akan berulang, tetapi dia ada acara untuk mencegah dan menanganinya.

Sementara itu, pada tahun 2017, Anita mengambil keputusan menubuhkan MIASA yang merupakan badan bukan kerajaan (NGO ) yang membantu mereka di luar sana yang berhadapan isu kesihatan mental.
Bahkan, idea untuk menubuhkan MIASA itu datang daripada suaminya sendiri.
“Pada ketika itu, saya sedang bersembang dengan suami dan dia berkata mengapa saya tidak berkongsi tentang keadaan saya dengan orang ramai.
“Mungkin dengan perkongsian pengalaman saya dapat membantu mereka lain di luar sana yang berdepan masalah yang sama.
“Penubuhan MIASA ini boleh dikatakan tercetus daripada idea suami saya,” jelasnya.
Tambah Anita, ketika itu, dia berharap dengan perkongsiannya dapat memberikan harapan kepada orang lain yang berdepan isu kesihatan mental bahawa ada jalan keluar untuk mereka.
Sejak ditubuhkan, MIASA bergerak aktif dan menganjurkan pelbagai program berkaitan kesihatan mental.
Setiap tahun mereka akan menganjurkan lebih 200 program yang berkaitan. MIASA bergerak secara sukarela dan sehingga kini mereka mempunyai lebih 2,100 sukarelawan di seluruh Malaysia.
Selain itu, mereka juga mempunya talian 24 jam yang beroperasi tujuh hari seminggu yang berperanan memberikan intervensi pertama kepada individu-individu yang memerlukan pertolongan.
Perjuangan Anita dalam mengemudi MIASA juga telah membolehkannya menerima Anugerah The Patient Champion For Science and Medicine pada Majlis Anugerah Metrodora 2022 yang dianjurkan oleh International Alliance of Patient Organizations (IAPO).
Berikutan kemenangannya itu, dia telah dijemput untuk ke Forum Kesihatan Mental di Geneva pada 5 Mei 2022 sebagai salah seorang ahli panel untuk membincangkan dan membentangkan topik Meningkatkan Akses kepada
Penjagaan Kesihatan Mental di Asia daripada pendekatan dan perspektif rakan sebaya.
Pada tahun 2023, Anita, mewakili MIASA Malaysia, menerima anugerah Top Healthcare Management 2023 Award daripada Health Expert Magazine.
Dalam pada itu, sebagai individu yang terlibat dalam isu kesihatan mental di Malaysia, Anita berkata, secara purata lebih 40,000 individu meminta bantuan dengan mereka setiap tahun.
“Kita ada talian bantuan, program sokongan dan sebagainya dan daripada data yang kita kumpul setiap tahun lebih 40,000 individu yang meminta bantuan secara fizikal ataupun dalam talian.
“Ketika pandemik Covid-19 adalah paling tinggi iaitu sekitar 101,000 individu yang ingin mendapatkan bantuan MIASA,” ujarnya.
Dalam pada itu, pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada isu kesihatan mental. Ia merangkumi faktor penyumbang sedia ada dan faktor risiko yang meningkat.
Anita menjelaskan, jika kita lihat ketika pandemik Covid-19 ramai hilang pekerjaan, masalah kewangan berlaku dan kehilangan orang tersayang menyumbang kepada isu kesihatan mental.
“Bagi golongan remaja mereka juga tidak terlepas daripada isu kesihatan mental atas beberapa faktor dan setiap hari mereka yang berumur 13 hingga 15 tahun menghubungi MIASA untuk mendapatkan bantuan.
“Pada usia ini mereka sudah bertarung dengan keadaan atau pemikiran-pemikiran untuk mengakhiri kehidupan,” ujarnya.
Malah, baru-baru ini MIASA berjaya menyelamatkan remaja lelaki yang berusia 15 tahun daripada membunuh diri.
Remaja itu dalam keadaan sangat tertekan dan menghubungi MIASA dengan mengatakan bahawa dia ingin menamatkan riwayat hidupnya.
“Apabila dia telah menghubungi kami, remaja ini memang memerlukan bantuan dan dia berkongsi bebanan yang dihadapinya kepada pasukan krisis kami.
“Pada ketika itu, saya sedang membantu pasukan krisis MIASA dan melihat remaja ini seperti serius kerana sudah mencederakan diri sendiri dan kami perlu melakukan sesuatu.
“Kami dapat mengesan lokasi remaja ini dan bantuan sewajarnya telah diberikan untuk menyelamatkannya,” jelas Anita.
Dalam pada itu, sepanjang mengemudi MIASA yang berpangkalan di Petaling Jaya, Selangor itu, Anita menjelaskan cabaran yang paling besar dihadapinya dalam menggerakkan NGO tersebut adalah dari segi kekangan dana.
Menurutnya, mereka berhadapan dengan kekangan dana untuk membayar operasi.
“Kita menerima geran-geran bantuan tetapi hanya boleh digunakan untuk menjalankan program dan aktiviti dan tidak boleh untuk membayar operasi.
“Manakala untuk kos operasi seperti sewa tempat, bil elektrik dan internet dan gaji-gaji kita tidak boleh menggunakan geran tersebut.
“Ada juga funder yang membayar gaji staf MIASA. Walau dua tahun dan bukan semua staf tapi ada juga portion sedikit,” katanya.
Menutup bicara, Anita berkata, pengalaman berjuang dengan isu kesihatan mental baginya sesuatu yang sukar pada awalnya sehinggalah dia menemui hikmahnya.
“Hikmah di sebalik ujian ini telah membuatkan saya perlu percaya dan yakin kepada ketentuan Allah dan memberikan 100 peratus tawakal kepadaNya.
“Penyerahan ini adalah sesuatu yang saya pelajari dalam proses penyembuhan.Sekarang saya ada 100 peratus keyakinan kepada Allah di mana apa juga ujian yang diberikan ada hikmah yang sangat besar sebenarnya,” jelasnya.














