fbpx
Qariah muda ini menyeru orang ramai memenuhkan bulan Ramadan dengan membaca al-Quran.

Farha ajak belia dekati al-Quran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Alunan merdu bacaan al-Quran oleh Johan Qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 itu dalam setiap sesi penstriman langsung (live) yang dibuat kedengaran cukup menenangkan.

Tidak hanya itu, raut wajah yang lembut, dengan tutur kata penuh sopan menjadikan Nor Farhatul Fairuzah Panut, 25, cukup dikagumi, khususnya dalam kalangan anak muda yang mengimpikan untuk bergelar qariah sepertinya.

Mesra disapa Farha, wanita cantik itu juga pernah diangkat sebagai Tokoh Belia Negara 2019 dan Ikon Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), selain kini sibuk dengan jadual harian sebagai juri program al-Quran di stesen televisyen, guru mengaji secara online dan juga bergelar pengacara televisyen.

Berkongsi dengan K-Remaja, anak kelahiran Klang, Selangor yang juga baru beberapa bulan lalu mendirikan rumah tangga dengan pasangannya itu sama sekali tidak menyangka laluan kerjayanya sehingga kini dipermudah Allah SWT.

“Alhamdulillah, ini semua rezeki Allah yang tak disangka-sangka buat saya.

“Sebenarnya, menjadi Johan Qariah Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa 2019 itu merupakan titik permulaan buat saya untuk menjadi qariah yang lebih baik dan mengajar al-Quran kepada umat Islam.

“Ia juga satu pengalaman yang ‘mahal’ buat saya memandangkan selepas daripada itu, saya turut menerima undangan sebagai jurucakap bagi program-program agama yang diadakan,” katanya.

Mengimbau perjalanan mendalami ilmu al-Quran, Farha berkata, ia bermula sejak dia berumur lima tahun.

Ketika itu, ibu dan bapanya banyak memberikan pendedahan kepadanya terhadap al-Quran dalam pelbagai cara.

“Antaranya seperti mengikuti kursus-kursus tilawah al-Quran dan syukur alhamdulillah kerana kesemua adik-beradik saya juga boleh membaca al-Quran dan bertilawah dengan baik.

“Semasa usia tujuh tahun pula, saya sudah mula menyertai pertandingan tilawah al-Quran setiap tahun, sehingga di bangku sekolah menengah,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.

Farha juga telah melancarkan sebuah buku sulung tulisannya yang bertajuk Healing With Quran sebagai salah satu usaha dakwahnya dalam mengajak orang ramai untuk lebih mendekati al-Quran.

Isi buku tersebut antaranya membawa pembaca untuk menghayati ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan pelbagai masalah yang dihadapi kita.

Ia juga mengandungi panduan untuk kita bersahabat dengan kalam Tuhan itu supaya menjadi pedoman dan panduan dalam urusan hidup.

Farha menulis buku sulungnya bertajuk Healing With Quran yang berkisar ayat-ayat suci
al-Quran sebagai panduan menghadapi masalah.

Bicara Farha tentang healing, healing yang sebenar dan sesungguh-sungguhnya adalah bersama dengan al-Quran.

“Kadangkala kita selalu fikir, perlu healing dengan pergi ke mana-mana destinasi percutian.

“Namun, sejauh mana pun kita pergi, tetapi jika hati kita tidak tenang, percutian itu tetap tidak mampu menenangkan hati kerana ketenangan sebenar adalah dengan al-Quran,” katanya.

Menyentuh pula mengenai gelaran ikon belia yang disandangnya, Farha berkata, ia tidak datang tanpa cabaran.

Sebagai seorang Muslimah, proses kekal istiqamah dalam memberi manfaat kepada orang lain dilihat Farha sebagai sesuatu yang agak sukar memandangkan apabila dianggap ikon, maka dirinya akan sentiasa dilihat sebagai individu contoh.

“Selain itu, proses penyampaian dakwah juga bagi saya sendiri agak sukar memandangkan saya perlu sentiasa mendekati dan masuk ke dunia pengguna media sosial kini seperti TikTok dan berusaha mengajak mereka untuk membuat sesi live bacaan al-Quran,” katanya.

Bercakap tentang media sosial, Farha berkata, dia melihat peranan anak muda yang merupakan pengguna terbesar media sosial dalam mengajak orang ramai mendekati al-Quran adalah cukup penting.

“Bagi saya, apa yang boleh mereka lakukan adalah dengan berkongsi perkara bermanfaat seperti menghasilkan video-video bacaan al-Quran atau mengajak apa sahaja jenis kebaikan kepada orang ramai,” ujarnya.

Dia berpendapat ketika ini, kesedaran dakwah anak muda dilihat semakin baik, dengan ramai yang membuat pelbagai perkongsian dakwah yang terkesan di hati. Justeru, Farha mengharapkan agar dakwah dalam kalangan generasi muda itu boleh diteruskan sebagai usaha memberi manfaat berterusan kepada orang ramai.

Tidak terlepas daripada menjadi mangsa kritikan, Farha berkata, ia sesuatu yang normal, lebih-lebih lagi apabila melibatkan diri dalam aktiviti dakwah.

Begitu pun, wanita berkulit cerah itu enggan membiarkan kritikan itu mematahkan semangatnya, sebaliknya menjadikan cakap-cakap orang itu sebagai sumber motivasi buatnya untuk terus menyebarkan manfaat kepada orang-orang di luar sana.

Farha turut berkongsi tip buat anak muda yang mahu mendekati al-Quran sepertinya, namun barangkali tidak tahu bagaimana hendak bermula.

“Pertama sekali, untuk mempelajari al-Quran, kita perlu ada guru. Justeru, antara usaha penting yang boleh mendekatkan kita dengan al-Quran adalah mencari guru yang boleh mengajar kita tadabbur,” katanya.

Sempena bulan Ramadan dan Nuzul Quran, Farha menyarankan anak muda agar mengambil peluang bulan Ramadan ini sebagai bulan mendekati al-Quran.

“Bulan Ramadan merupakan bulan turunnya al-Quran, jadi masya-Allah saya harap jangan lepaskan peluang untuk membaca dan mendalami al-Quran dalam bulan mulia ini, walaupun cuma sekadar satu ayat.

“Dalam hadis juga ada memberitahu biarpun dengan hanya baca satu ayat al-Quran, Allah SWT akan memberikan 10 kebaikan, malah pada bulan Ramadan ini Allah gandakan lagi menjadi 70 kebaikan.

“Jadi, usah disia-siakan kerana banyak pahala yang akan diperoleh,” ungkapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN