fbpx
IMRAN (kanan) bersama Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif (tengah) dan para pelajar yang terlibat projek tanaman timun menggunakan teknologi IoT di kebun komuniti dalam kampus UTeM baru-baru ini.

Projek rintis pertanian moden UteM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI satu sudut, kelihatan susuk seorang lelaki sedang sibuk menguruskan kerja-kerja pembajaan dan pengairan anak pokok di sebuah kebun.

Sesekali, dia sibuk memantau dan mengumpulkan data anak pokok bagi membekalkan air mencukupi selain memerhati kualiti sayur yang ditanam mencapai tahap optimum.

Bagi pelajar Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Mohamad Syafiq Hakemy Mohd. Ridhwan, 23, apa yang dilakukan itu adalah sebahagian daripada tuntutan dalam latihan industri yang sedang dijalani selama dua bulan di bawah bidang pertanian moden.

Mohamad Syafiq memilih untuk mengikuti latihan industri di dalam kampusnya sendiri iaitu di Kebun Komuniti Durian Tunggal UTeM.

“Saya melihat ini sebagai satu peluang besar untuk mempelajari penanaman yang lebih efektif.

“Tidak sekadar bekerja, saya juga berpeluang berjumpa dengan orang-orang yang lebih berpengalaman tentang menguruskan tanaman untuk mendapatkan hasil yang banyak, berkualiti dan sihat.

“Menerusi latihan ini juga, saya didedahkan dengan projek inovasi baharu ciptaan sekumpulan penyelidik UTeM dikenali sebagai Sistem Fertigasi Pintar berteraskan teknologi Internet Kebendaan (IoT),” katanya kepada K-Kampus.

UTeM menjadi universiti teknikal pertama negara yang berjaya mencipta dan merintis projek sistem kawalan penyiraman serta pembajaan berasaskan teknologi IoT tersebut.

IoT adalah adalah rangkaian peranti yang berhubung dan berkomunikasi antara satu sama lain tanpa intervensi oleh manusia.

Teknologi tersebut diperkenal sekumpulan penyelidik UTeM diketuai Prof Madya Dr. Imran Mohd. Ibrahim dari Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Elektronik dan Komputer (FTKEK) bertujuan meningkatkan hasil pengeluaran tanaman pertanian secara konsisten dan berkualiti.

Meneruskan perkongsian, pelajar semester keenam jurusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik itu berkata, IoT merupakan inovasi yang lebih efektif dalam mendapatkan data secara lebih tepat berbanding kaedah lama.

Sistem Fertigasi Pintar berteraskan teknologi IoT itu melibatkan penggunaan peranti yang terdiri daripada sensor, perisian dan beberapa peralatan yang membolehkan pengumpulan dan penghantaran data berlaku secara masa nyata (real time).

Menerusi inovasi yang dihasilkan oleh UTeM ini, aktiviti pertanian boleh dilakukan tanpa pengawasan tenaga manusia 24 jam.

“Data tersebut dapat memberikan apa yang pokok perlukan untuk lebih cepat membesar dan menghasilkan sayuran atau buahan yang lebih berkualiti.

“Ia juga dapat menarik minat belia untuk menjadi petani moden di usia muda walaupun masing-masing mempunyai latar belakang pelajaran di peringkat tinggi.

“Pada masa sama, teknologi ini juga boleh mendatangkan hasil lumayan apabila buah atau sayur yang dihasilkan berkualiti tinggi serta mempunyai permintaan di luar negara untuk dagangan luar,” ujarnya.

Sementara itu, Dr. Imran memberitahu, penggunaan IoT dalam sektor pertanian mula tercetus pada tahun 2010 apabila ada keperluan terhadap ketepatan kepada input pertanian.

Menurutnya, idea ini mula berkembang di makmal dalam bentuk penyelidikan dan kini telah mula diaplikasikan di ladang pertanian dan penternakan.

Di Malaysia, penggunaan teknologi IoT dalam sektor pertanian masih baharu dan belum digunakan secara meluas.

Bercakap mengenai kelebihan projeknya, Dr. Imran berkata, ia bersifat pemantauan berterusan terhadap keperluan air dan baja yang diperlukan pokok.

Keunikan sistem IoT ini adalah ia boleh dikawal dari jarak jauh tanpa memerlukan pengawasan tenaga manusia selama 24 jam.

“Berdasarkan data ini, petani dapat memahami karakter setiap tanaman yang dihasilkan.

“Sebagai contoh, melalui pemantauan kadar serapan air oleh pokok timun, kami mendapati serapan air lebih banyak berlaku pada waktu malam berbanding siang.

“Ini membolehkan air disalurkan segera dengan mengaktifkan ‘valve’ kawalan air secara jarak jauh.

“Risiko apabila air gagal disalurkan segera akan menyebabkan pokok timun ini kering dan kemungkinan mati pada keesokan paginya,” katanya.

Terdahulu, majlis pelancaran Sistem Fertigasi Pintar Berasaskan Teknologi IoT telah diadakan di Kebun Komuniti Durian Tunggal UTeM sempena program Pendayaan Komuniti Universiti Awam (Komuniti@UniMADANI).

Merasmikan majlis ialah Ahli Parlimen Alor Gajah, Adly Zahari.

Menjelaskan lebih lanjut bagaimana teknologi itu beroperasi, Imran berkata, IoT ini menghubungkan sensor di ladang secara tanpa wayar menggunakan aplikasi rangkaian komunikasi baharu dinamakan long range communication network (LoRa) terus ke pusat pengumpulan data.

“Maklumat data ini boleh diakses di paparan pemuka peranti tablet atau komputer secara jarak jauh di mana-mana sahaja. Ini membolehkan petani memantau kandungan air dan baja pada tanaman serta tahap kesihatan pokok pada bila-bila masa dan di mana sahaja mereka berada.

“Malah, mereka (petani) juga boleh membuat kawalan kepada sistem fertigasi ini seperti kawalan pam air secara jarak jauh,” katanya yang menyatakan sebuah sistem IoT menelan kos antara RM15,000 hingga RM20,000.

Mengulas tentang kualiti tanaman menerusi sistem ini, Imran memberitahu, secara lazim, untuk tanaman timun selama enam minggu akan menghasilkan sebanyak enam tan, tetapi menerusi sistem ini, ia mampu menjana hasil tuaian sebanyak 4.5 tan hanya selepas dua minggu semaian.

Di samping itu, 95 peratus hasil tuaian adalah hasil gred A dan B yang boleh dijual, manakala hanya 5 peratus gred C yang tidak boleh dijual.

Tambahnya, produk ini berpotensi untuk dikomersialkan secara meluas untuk pertanian di Malaysia.

Fungsi dan keberkesanannya terbukti setelah diuji di ladang berskala pertanian komersial iaitu 1,000 pokok timun dan telah memberi dapatan yang sangat positif serta menunjukkan peningkatan hasil tuaian.

Pada masa sama, Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Massila Kamalrudin berkata, ini merupakan antara hasil terbaharu ciptaan sekumpulan penyelidik universiti bagi membantu meningkatkan hasil tanaman sektor pertanian.

Jelasnya, menerusi sistem ini juga telah turut mampu mengawal kualiti tanaman pertanian dan menariknya apabila kumpulan petani boleh membuat kawalan sistem fertigasi seperti kawalan pam air secara jarak jauh.

Katanya, usaha kumpulan penyelidik UTeM menzahirkan kepakaran yang dimiliki dengan sentuhan teknologi terkini telah berjaya menaik taraf sektor pertanian ke tahap yang lebih moden dan maju.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN