fbpx
ANTARA perabot dan hiasan yang diolah oleh Kak Alien.

Dekorasi unik, aneh kediaman Kak Alien

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MINAT terhadap penghasilan perabot dan perhiasan rumah secara do it yourself (DIY) telah memberi peluang kepada pemilik kediaman untuk tampil dengan dekorasi tersendiri.

Perkataan unik dan aneh barangkali cukup sesuai untuk menggambarkan dekorasi pada sebuah kediaman jenis pangsapuri milik seorang wanita yang tular menerusi platform TikTok baru-baru ini.

Hanya mahu dikenali sebagai Kak Alien, wanita yang menetap di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor itu mempunyai kediamannya yang menampilkan seleksi perabot dan perhiasan rumah cukup unik.

Berkongsi dengan CitaRasa, Kak Alien memberitahu, dia sememangnya amat meminati dekorasi rumah sejak berusia tujuh tahun dan lebih cenderung ke arah penghasilan barangan secara DIY.

“Bermula daripada minat, saya mula menghasilkan perabot sendiri pada 2012 selepas berpindah masuk ke rumah sendiri,” katanya.

Melangkah masuk ke kediaman seluas 70 meter persegi itu, gabungan perabot unik boleh dilihat di ruang tamu kediaman yang menampilkan meja kopi dengan kaki berwarna-warni.

Di sebelahnya pula, Kak Alien meletakkan sebuah meja santai berbentuk bulat dengan kerusi DIY berwarna merah yang mempunyai ‘mata’ dan ‘tangan’.

KAK ALIEN selesa menampilkan konsep dopamine decor yang bersifat ceria.

Ujarnya, konsep hiasan dalaman yang ditampilkan adalah dopamine decor yang merupakan konsep bersifat ceria dan segar menerusi penggunaan warna-warna terang, corak ‘bold’ dan elemen eclectic. Ia bertujuan merangsang kreativiti dan menjadikan penghuninya lebih ceria.

Biarpun nampak asing dan berbeza dengan kebanyakan konsep hiasan dalaman kediaman, namun dekorasi sebegitu tidak langsung menjadikan rumah Kak Alien nampak serabut, sebaliknya ia kelihatan penuh berkarakter.

Mengulas tentang ruang kegemarannya pada kediaman itu, Kak Alien memberitahu, dia cukup sukakan ruang yang menempatkan meja makan.

“Saya sangat sukakan ruang meja makan kerana di situlah saya meletakkan satu kerusi ‘alien’ iaitu kerusi DIY saya. Ia merupakan perabot DIY pertama yang saya hasilkan.

“Selain itu, saya juga meletakkan beberapa barangan DIY lain dan ia juga merupakan sudut kegemaran tetamu untuk bergambar,” jelasnya.

SALAH satu sudut menarik di dalam kediaman Kak Alien.

Berkongsi tentang inspirasi menghias kediaman, Kak Alien memberitahu, dia sering mencari idea untuk projek DIY menerusi aplikasi Pinterest.

“Carian saya adalah seperti funky furnitures, dopamine living area dan bauhaus decor,” kongsinya.

Tidak lokek berkongsi, wanita itu memberitahu, dia tidak banyak berhabis untuk menghasilkan barangan DIY.

Ujarnya, hal ini kerana kebanyakannya dibuat dengan menggunakan bajet kurang daripada RM50.

“Anggaran keseluruhan bagi semua produk DIY yang sudah saya hasilkan pula tidak lebih daripada RM400,” katanya.

Mengakhiri bicara, Kak Alien memberitahu, atas permintaan pengikutnya di platform TikTok, dia kini sedang dalam proses menghasilkan kerusi alien sebagai item dekorasi.

Ujarnya, ia bagi memberi peluang kepada para pengikutnya membeli dan memiliki kerusi edisi terhad itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN