Bahasa Melayu, merupakan bahasa kebangsaan yang memainkan peranan penting dan menjadi tonggak utama dalam membentuk jati diri bangsa.
Tidak dinafikan bahawa era globalisasi dan kemajuan teknologi menyebabkan penggunaan bahasa Melayu kini semakin terancam apabila ramai mengagungkan penggunaan bahasa Inggeris selain mencampuradukkan kedua-dua bahasa dalam kehidupan seharian.
Ahli Parlimen Marang (PN), Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, segelintir pihak yang lebih mengutamakan penggunaan bahasa Inggeris pada majlis-majlis rasmi menyebabkan usaha memartabatkan bahasa Melayu semakin lemah.
Beliau juga menganggap keadaan bertambah celaru sedangkan semua rakyat mengetahui bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalulail baru-baru ini telah mengutuskan warkah kepada pihak berkuasa bahawa teks sahih Perlembagaan Persekutuan ditetapkan dalam bahasa Melayu.
Baginda turut mempersoalkan keengganan beberapa pihak dalam menggunakan bahasa Melayu di dalam mahupun luar mahkamah.
Jelasnya, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan diperincikan lagi dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Pensyarah Cemerlang Gred Khas C (Bahasa Melayu) Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Ilmu Khas, Norani Abd Rahim berkata, salah satu punca utama yang membawa kepada kemerosotan ini adalah penggunaan bahasa rojak dalam pertuturan harian.
“Fenomena ini bukan sahaja berlaku di bandar, malah merebak ke kawasan luar bandar kerana bahasa Melayu sering dianggap sebagai bahasa kedua atau ketiga dan hanya digunakan waktu formal.
“Dalam konteks Malaysia, terdapat trend membimbangkan apabila media massa seolah-olah bersetuju mempromosikan istilah yang salah seperti penggunaan ‘syatuu’ bagi menggantikan perkataan ‘satu’.
“Ada juga penyampai radio menyebut perkataan ‘lanje’ bagi menggantikan perkataan ‘belanja’ dan ‘begitu’ kepada ‘gitew’.
“Niatnya mungkin untuk berseronok dengan memaparkan bahasa yang ‘manja’ tetapi impaknya besar kepada pendengar,” katanya.
Jelasnya, penggunaan lagu Melayu bercampur Inggeris juga semakin kerap didengar terutama dalam industri muzik tempatan.
“Walaupun ini dilihat sebagai kreativiti seni, ia sebenarnya memberi kesan negatif kepada pendengar terutamanya golongan belia,” jelasnya.
Selain itu, sikap warganegara yang menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa ketinggalan zaman dan tidak relevan turut mendorong kepada kemerosotan ini.
“Mereka lebih bangga menggunakan bahasa asing kerana dianggap lebih berjaya dan berprestij,” tambahnya.
Tidak dinafikan bahawa semua pihak terutama media massa dan platform digital perlu memainkan peranan penting dalam mempopularkan bahasa Melayu dengan menghasilkan kandungan kreatif.
Akhir sekali, sebagai warganegara, kita perlu menyedari tanggungjawab mereka dalam memelihara dan memartabatkan bahasa Melayu kerana masa depannya bergantung pada sikap dan tindakan kita sendiri.















