Bunyi tembakan pertama yang dilepaskan memecah keheningan pagi di Lapang Sasar Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.
Sejurus itu, ada pelatih yang tersentak, malah ada juga yang melatah kerana terkejut dengan dentuman kuat senjata api.
Namun, kejutan itu pantas bertukar menjadi keterujaan kerana buat pertama kali dalam hidup, mereka merasai pengalaman menembak menggunakan senjata api jenis raifal (M16).
Seramai 116 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 berusia antara 18 hingga 25 tahun terlibat dalam sesi latihan menembak yang berlangsung pada 8 dan 9 Februari lalu.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan bangsa, mencerminkan kepelbagaian serta perpaduan dalam program ini. Latihan menembak ini merupakan sebahagian daripada modul asas ketenteraan dalam PLKN 3.0 yang bertujuan memberikan pendedahan kepada pelatih mengenai pengendalian senjata serta membentuk disiplin dan keberanian mereka.
Seawal pukul 8.30 pagi, pelatih berkumpul di khemah khas untuk mendengar taklimat keselamatan daripada pegawai tentera. Mereka diberikan penerangan mengenai prosedur pengendalian senjata dan langkah keselamatan yang perlu dipatuhi sebelum melakukan tembakan.
Selesai taklimat, pelatih berlari menuju ke lapang sasar sebagai sebahagian daripada aktiviti pemanasan badan. Setibanya di lapang sasar, mereka membaca doa bersama sebelum menerima senjata M16 yang telah disediakan oleh jurulatih dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ketika giliran menembak tiba, debaran semakin memuncak. Ada yang memegang senjata dengan penuh yakin, manakala sebahagian lagi kelihatan sedikit canggung.
Namun, setiap pelatih mendapat bimbingan langsung daripada jurulatih tentera yang memastikan mereka memahami teknik asas menembak dengan betul, selamat dan berkesan. Tepat pukul 9.10 pagi, sesi latihan bermula.
Setiap pelatih diberi 10 butir peluru dan perlu melakukan tembakan pada jarak 25 meter dan 100 meter.

Dentuman demi dentuman bergema di lapang sasar, menggambarkan kesungguhan mereka dalam menjalani latihan.
Ada yang tersenyum bangga apabila peluru mereka mengenai sasaran, tidak kurang juga yang terkejut dengan daya hentakan M16 yang jauh lebih kuat daripada jangkaan mereka.
Selepas selesai menembak, pelatih dibawa melihat sendiri kesan tembakan masing-masing pada sasaran.
Bagi mereka, melihat peluru menembusi sasaran memberikan satu kepuasan tersendiri, perasaan bangga kerana berjaya melakukan sesuatu yang selama ini hanya mereka lihat di kaca televisyen.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran, latihan menembak ini bukan sekadar memberi pengalaman baharu, malah berperanan besar bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelatih.
“Mereka memakai uniform celoreng Tentera Darat Malaysia (TDM), diberi peluang mengendalikan senjata dan merasai latihan asas ketenteraan.
“Ini semua membentuk semangat disiplin, keberanian dan kesungguhan dalam kalangan wira muda ini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa latihan menembak ini hanya dilakukan sekali sepanjang PLKN 3.0, tetapi pelatih telah menerima latihan intensif mengenai pengurusan senjata selama lebih seminggu sebelum sesi menembak sebenar dijalankan.
“Ini bertujuan memastikan mereka betul-betul memahami prosedur keselamatan dan teknik yang betul sebelum melepaskan tembakan sebenar,” katanya.
Tambahnya, latihan menembak hanyalah salah satu daripada aktiviti menarik dalam PLKN 3.0.
“Selain menembak, pelatih juga akan menjalani latihan ikhtiar hidup, pandu arah dan aktiviti jasmani yang membentuk ketahanan fizikal serta mental mereka.
“Namun bagi kebanyakan pelatih, sesi menembak ini pastinya antara pengalaman paling berharga sepanjang menyertai program ini,” ujarnya.
Sebagai seorang pengamal media, penulis turut diberi peluang merasai pengalaman menembak menggunakan M16 buat kali pertama.
Tidak dinafikan, debaran semakin terasa saat jari bersedia untuk menarik picu.Suasana latihan yang cukup realistik benar-benar menguji keberanian.
Apabila peluru pertama dilepaskan, hentakan senjata ke bahu memberikan satu sensasi yang sukar digambarkan, sehingga mendorong rasa hormat yang lebih tinggi kepada anggota tentera ketika berdepan situasi sebenar di medan pertempuran.
Secara keseluruhannya, latihan menembak PLKN 3.0 bukan sekadar mengajar teknik menembak, tetapi juga memberikan pengalaman unik yang akan terus dikenang oleh setiap pelatih.
Selain membentuk disiplin dan keberanian, mereka kini lebih memahami cabaran latihan ketenteraan yang dilalui oleh pasukan keselamatan negara.
Pastinya, pengalaman ini akan terus menjadi kenangan berharga, satu cerita menarik yang akan mereka kongsi dengan keluarga dan rakan-rakan selepas tamat latihan.














