MESIN layan diri runcit pertama Malaysia ditempatkan di pejabat PayNet, Menara Southpoint, Mid Valley City, Kuala Lumpur.

Mesin layan diri runcit pertama Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARANGAN runcit seperti sayur, kicap, sos, sambal segera atau makanan dalam tin mudah didapati di rak pameran kedai runcit atau pasar raya.

Bagaimanapun, peralihan masa menyaksikan perubahan apabila barangan tersebut kini boleh didapati dengan mudah secara layan diri menerusi kemudahan bayaran tanpa tunai.

Kemudahan itu berjaya direalisasikan menerusi kerjasama Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet) dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Kedua-dua organisasi itu berganding bahu melancarkan mesin layan diri barangan runcit pertama di Malaysia.

Usaha tersebut secara tidak langsung menjadi titik penting dalam perkembangan peruncitan automatik.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Keterjaminan Makanan & Operasi), Shahrizan Sudiman, pihaknya ingin meluaskan pasaran produk mesin layan diri dan tidak terhad kepada makanan ringan atau minuman sahaja.

Atas dasar itu, pihaknya melihat projek berkenaan berpotensi menjadi inovasi baharu dalam pemasaran produk pertanian dan agromakanan dengan menawarkan platform jualan lebih automatik, efisien serta mudah diakses.

“Dengan menggunakan mesin layan diri, ia dapat mengurangkan keperluan pekerja dan premis yang memerlukan kos sewaan serta penyelenggaraan tinggi.

“Usahawan juga dapat menjual produk secara langsung kepada pengguna, sekali gus mempromosikan hasil tanpa perlu bergantung kepada pasar atau peruncit.

“Dalam era digital masa kini, mesin layan diri boleh menyokong sistem pembayaran tanpa tunai yang memudahkan pengguna.

“Ini termasuk ‘memecah’ masalah pengedaran serta logistik produk pertanian yang kadang-kadang terbatas oleh faktor lokasi dan masa.

“Penggunaan mesin layan diri tersebut juga mampu membantu FAMA mengembangkan cara yang lebih fleksibel dan moden dalam memasarkan produk pertanian dan agromakanan tempatan.

“Ini sekali gus dapat menggalakkan penggunaan teknologi dalam sektor pertanian,” katanya kepada K-Tekno.

PELBAGAI produk makanan dan pertanian tempatan boleh diperoleh menerusi mesin layan diri runcit.

Selain berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, Shahrizan memberitahu, pemilihan produk yang ditempatkan dalam mesin layan diri bergantung kepada permintaan pasaran, selain sesuai dengan kapasiti penyimpanan mesin.

Katanya, produk yang ditempatkan perlu mempunyai jangka hayat yang sesuai dan mudah disimpan dalam keadaan segar.

“Tahap suhu mesin penting bagi membolehkan produk seperti buah-buahan atau makanan diproses dapat tahan lebih lama.

“Suhu mesin perlu sentiasa dipantau bagi memastikan ia sesuai pada tahap sepatutnya.

“Lokasi mesin juga perlu diambil kira sama ada diletakkan di kawasan pejabat atau urban untuk disesuaikan dengan produk makanan agar tidak rosak. Ini bagi memastikan produk dijual menepati pelanggan sasaran,” ujarnya.

Tambahnya, pertimbangan faktor tersebut bagi memastikan mesin layan diri tidak hanya berfungsi sebagai saluran penjualan yang efisien, malah memberi nilai tambah kepada petani dan pengguna.

Di samping itu, FAMA juga mengambil beberapa langkah penting bagi memastikan produk dalam mesin layan diri kekal segar, tidak rosak atau melepasi tarikh luput.

“Beberapa jenis produk memerlukan kelembapan tertentu untuk mengekalkan kesegaran.

“Barangan yang dipilih perlu mempunyai jangka hayat yang panjang. Pemeriksaan berkala juga dapat membantu memastikan barangan seperti sayur dan buah dapat bertahan.

“Mesin ini juga dilengkapi dengan sistem pendingin yang berfungsi mengekalkan suhu rendah bagi melambatkan proses pematangan dan pembusukan. Suhu yang rendah dapat memastikan sayuran dan produk segar bertahan lama.

“Pengawalan suhu dinamik iaitu kawalan suhu dibuat berdasarkan produk. Sebagai contoh, produk yang memerlukan suhu lebih rendah atau kawalan kelembapan tinggi (sayur berdaun hijau) bagi mengekalkan kesegaran,” ujarnya.

Dalam pada itu, Shahrizan tidak menolak kemungkinan mesin layan diri akan berdepan dengan kerosakan, gangguan sistem atau terputus bekalan elektrik.

Ujarnya, sebarang risiko sudah diambil kira sebelum memastikan 24 jenis produk usahawan FAMA dijual dalam mesin layan diri yang ditempatkan di pejabat PayNet di Menara Southpoint, Mid Valley City, Kuala Lumpur itu.

Antara produk yang dijual adalah buah anggur merah, anggur hijau, kobis panjang, bendi, bayam, sawi Jepun, kicap manis, kicap masin, sos Korea, sos tiram, pes tomyam, pes asam jawa, sardin dan nanas dalam tin.

“Kami menetapkan jadual penyelenggaraan untuk memeriksa keadaan mesin, memastikan komponen utama seperti sistem penyejukan atau pembekuan berfungsi dengan baik.

“Sekiranya berlaku masalah atau kerosakan, pasukan teknikal akan digerakkan untuk menggantikan stok dan barangan dalam mesin secepat mungkin.

“Penyeliaan berkala juga dapat memastikan penggantian stok lebih efisien bagi mengelakkan pembaziran.

“Penyelia mesin juga akan memastikan jumlah stok yang cukup, tetapi tidak berlebihan sehingga menimbulkan pembaziran sekiranya berlaku kerosakan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Pendigitalan Kerajaan PayNet, Firdaus Ghani berkata, mesin layan diri semakin popular ekoran peningkatan kaedah pembayaran tanpa tunai serta permintaan terhadap akses kepada kedai runcit pada bila-bila masa.

“Permintaan kepada mesin layan diri kini tidak lagi terhad pada makanan ringan dan minuman. Sebaliknya kini ia meliputi makanan tambahan, produk kesihatan dan hasil segar.

“Ini membuktikan peningkatan kecenderungan pengguna yang mengutamakan pengalaman pembelian secara mudah, automatik dan bebas sentuhan terutamanya di tempat tumpuan seperti pusat membeli-belah, lapangan terbang serta hospital.

“Pengguna hari ini mengutamakan kemudahan dan mesin layan diri bagi mendapatkan makanan atau barangan runcit.

“Dengan pelancaran mesin layan diri barangan runcit pertama ini, kami menyambut baik trend global mengintegrasikan pembayaran digital dan automatik untuk mengubah cara jualan runcit bagi barangan segar,” katanya.

Firdaus berkata, meskipun kehadiran mesin layan diri mampu memberi impak kepada pembelian secara fizikal, namun PayNet yakin jualan dengan kaedah digital dan elektronik akan menjadi pelengkap kepada ekosistem peruncitan sedia ada.

“Mesin layan diri ini diwujudkan sebagai pilihan tambahan yang bersifat pantas dan memiliki aksesibiliti tinggi kepada pengguna.

“Mesin layan diri bukanlah satu bentuk persaingan yang menjatuhkan industri peruncitan, sebaliknya satu inisiatif menggerakkan industri peruncitan ke arah automasi dan pendigitalan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN