KOTA BHARU – Walaupun tiket bas balik raya naik RM5, perkhidmatan bas ekspres tetap menjadi pilihan perantau untuk pulang ke kampung sempena Aidilfitri ini.
Tinjauan Kosmo! Ahad menerusi platform jualan tiket bas dalam talian, beberapa syarikat bas ekspres menaikkan harga tiket iaitu daripada RM40 kepada RM45 bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu bermula 25 Mac hingga sehari sebelum 1 Syawal.
Pengurus My Xpress Cawangan Kelantan, Zaizul Hamad, 54, berkata, syarikatnya menguruskan dua perkhidmatan bas ekspres iaitu My Xpress dan Ekspres Mayang Sari dengan menaikkan tambang hanya RM5.
Katanya, kedua-dua perjalanan bas ekspres itu terutamanya perjalanan masuk ke Kelantan sudah habis terjual secara dalam talian dan di kaunter sejak jualan mula dibuka kelmarin.
“Kira-kira 1,000 tiket habis terjual dalam tempoh itu melibatkan pelbagai perjalanan bas ekspres sama ada masuk atau keluar dari Kelantan.
“Pengurusan My Xpress dan Ekspres Mayang Sari hanya menaikkan kadar tambang daripada RM40 kepada RM45 untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Kadar itu masih berpatutan berbanding tambang yang ditetapkan oleh syarikat lain,” katanya semalam.
Zaizul berkata, bagi laluan Shah Alam, Klang, Putrajaya ke Kota Bharu pula ditetapkan pada kadar RM50 berbanding RM45 sebelum ini.
Katanya, bagi bas Ekspres Mayang Sari, harga tiket dari Kota Bharu ke Johor Bahru adalah RM63.
“Jadual perjalanan ditetapkan pada waktu pagi, tengah hari dan malam untuk trip bas My Xpress dan Ekspres Mayang Sari.
“Kita akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan sama ada akan menyediakan bas tambahan jika ada permintaan tinggi,” ujarnya.















