fbpx
Gambar hiasan

Paksa puasa tapi tak didik anak solat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

RASA bangga diri apabila dipuji saudara-mara serta rakan apabila berjaya memaksa anak yang masih belum akil baligh ber­puasa penuh tahun ini, se­dangkan betapa perit yang dilalui anak tidak pula kita rasa.

Mendidik anak untuk berpuasa penuh di bulan mulia Ramadan adalah satu perkara yang sangat baik, namun hal itu tidak perlu berlaku lagi sekiranya anak-anak masih belum wajib berpuasa.

Namun pelik, ada juga golongan ibu bapa yang hanya menekankan kepada puasa di bulan Ramadan daripada memaksa anak untuk bersolat wajib lima waktu.

Memaksa dan melatih adalah satu perbuatan yang berlainan yang mana boleh membuatkan mental dan rohani anak dapat menerima dalam keadaan bersedia mahupun tidak bersedia untuk berpuasa.

Memaksa merupakan salah satu kesalahan umum yang sering dilakukan ibu bapa sebelum anak mereka bersedia. Hal ini dapat membuat anak merasa tertekan hingga boleh menyebabkan trauma.

Malah, ada segelintir ibu bapa sanggup janjikan ganjaran agar anak-anak teruskan berpuasa sepanjang Ramadan biarpun anak enggan dan kurang bersedia. Segalanya bergantung kepada didikan masing-masing.

Puasa hanya diwajibkan ke atas orang Islam yang baligh, berakal, dan mampu melakukannya. Manakala solat sudah diwajibkan sejak seseorang itu mumayyiz (dapat membezakan baik dan buruk), sekitar usia tujuh tahun. Nabi SAW bersabda:

“Perintahkan anak-anakmu untuk solat ketika mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka (dengan lembut jika perlu) apabila mereka meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun,” HR Abu Dawud.

Puasa boleh dimulakan secara bertahap. Jika anak masih kecil, biarkan mereka berlatih puasa separuh hari terlebih dahulu. Tetapi solat tidak boleh ada kompromi kerana ia wajib sejak usia tujuh tahun.

Menurut Majlis Mufti Wilayah Persekutuan dalam Irshad Fatwa Khas Ramadan siri ke-163 menjelaskan, para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadith yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh.

“Saidina Ali meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.

“Namun, jika seorang kanak-kanak yang telah mumayyiz itu berpuasa, maka hukumnya adalah sah. Kata Imam al-Qalyub, (dan salah satu syarat sah puasa itu) ialah berakal, dalam erti kata tamyiz, iaitu mampu membezakan antara baik dan buruk; maka sah puasa seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz,” tulis fatwa tersebut.

Jelas fatwa itu lagi, timbul pula persoalan, pada umur berapakah seorang kanak-kanak itu perlu diajar dan dididik untuk berpuasa? Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr. Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawal umur tujuh tahun.

“Dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan. Hal ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat.

“Namun, ibu bapa atau wali hendaklah memastikan puasa itu tidak menyebabkan kemudaratan kepada kanak-kanak tersebut dan menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk meneruskan puasa,” tulis fatwa itu lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN