Monsun Timur Laut hampir melabuhkan tirainya, jadi tangan pemancing mana yang tidak menggigil setelah lama tidak turun memancing?
Kepulauan Penyabong di Johor merupakan antara destinasi yang menjadi tumpuan ramai pemancing kerana gugusan kepulauannya. Selain untuk pemancing berlindung jika berlaku angin kencang, ia juga merupakan tumpuan kawanan ikan membiak.
Trip kali ini, saya bersama abang dan rakan-rakan dari kampung pada asalnya ingin memancing di persisiran pantai dan pulau berhampiran sahaja. Namun, nasib kami sungguh baik kerana cuaca pada hari itu agak tenang dan selamat untuk kami menuju ke lokasi lebih jauh dengan berbekalkan set pancingan ringan dengan kepingan umpan besi kecil (light jigging) serta berhanyut dasar (bottom drift).
Sasaran kami merupakan ikan pelagik seperti ebek kapak dan gerong belang yang kebiasaannya banyak pada musim sebegini.
Memang betul telahan saya kerana pada lokasi pemanas badan, dengan beberapa kali jatuhan jig sahaja seekor ikan ebek kapak berjaya didaratkan oleh Dr. Din.
Tidak lama selepas itu, giliran abang saya melayan dan mendaratkan seekor lagi ebek kapak yang bersaiz lebih besar dengan menggunakan teknik hanyut udang hidup.
Pulau Tokong Burung
Pulau ini merupakan pulau berbatu yang tidak mempunyai pantai di sekelilingnya. Berada pada jarak 16 batu nautika dari jeti Penyabong, pulau ini merupakan antara lokasi kegemaran saya untuk memancing.
Struktur dasarnya yang pelbagai terdiri daripada lumpur, tanah keras, berpasir dan berkarang dengan kedalaman antara 20 hingga 40 meter menjadikannya habitat terbaik pelbagai spesies ikan.
Memandangkan ada antara rakan yang baru berjinak-jinak dengan pancingan laut, saya mempelbagaikan kaedah memancing. Pemancing di bahagian hadapan fokus kepada teknik jigging.
Mereka di bahagian tengah bot menggunakan teknik ketuk dasar dengan umpan udang hidup dan perambut pendek, manakala peserta di bahagian belakang menyeret umpan udang hidup menggunakan ranggung (spreader) yang disambung perambut panjang.
Double strike
Saya dengan teknik jigging berjaya ‘memujuk’ pemangsa menyambar kepingan jig setelah melihat kawanan ikan di paparan sonar. Sedang saya melayan asakan ikan, tiba-tiba joran kepunyaan abang saya melentur menyembah air disusuli tali muntah tidak henti-henti.
Seraya itu, semua bersorak kerana mendapat double strike sekali gus.

Perlawanan mengambil masa lebih lima minit memandangkan kami menggunakan set ringan dan risau juga memandangkan tali pancing merupakan tali lama.
Khuatir jika berlawan dengan keras, ia akan menyebabkan masing-masing pulang kosong. Namun, nasib menyebelahi kami apabila dua ekor ebek kapak dapat didaratkan dengan jayanya.
Ebek kapak ‘gincu kuning’
Angin kuat yang menghembus pada waktu tengah hari menyebabkan bot hanyut dengan laju.
Keadaan ini menyebabkan umpan tidak dapat berada di dasar pada waktu lama.
Sifat ikan di sini, kebanyakan sambaran hanya berlaku rapat di dasar. Lebih lama umpan atau jig berada di dasar, lebih tinggi potensi untuk menerima sambaran.
Oleh yang demikian, saya terpaksa bersauh, namun kaedah ini agak membosankan kerana perlu menunggu ikan datang berbanding berhanyut yang sentiasa mencari kedudukan ikan.
Walaupun begitu, Dr. Din bernasib baik apabila jig yang diketuk perlahan di dasar disambar rakus oleh ikan betul-betul di bawah bot.
Kali ini, dia memerlukan masa lebih lama berbanding perlawanan dengan ikan ebek sebelumnya.
Manakan tidak, kerana kali ini dia memperoleh ikan ebek ‘gincu kuning’ yang besar seterusnya menjadi spesimen terbesar pada trip kali ini.
Setelah menunggu beberapa ketika, tiada lagi ikan sudi ‘menjamah’ umpan mahupun jig.
Saya mengambil keputusan untuk kembali ke teknik berhanyut dan meminta supaya semua pemancing menggunakan batu ladung lebih berat bagi meningkatkan potensi umpan lebih lama di dasar laut.
Tukun tiruan
Tidak jauh dari pulau, saya ada melabuhkan tukun tiruan sebagai lubuk ‘cari makan’, namun nasib tidak begitu menyebelahi kami kerana tidak banyak ikan terutamanya ikan merah yang diharapkan menghuni tukun tersebut.
Hanya seekor ikan merah bersaiz juvenil dan beberapa ekor kerapu serta ikan tanda yang sudi menjamah umpan.
Setelah tiada sambaran daripada penghuni dasar, saya menuju pula ke kawasan karang tinggi. Sebelum melabuhkan sauh untuk kali kedua, saya berhanyut terlebih dahulu untuk mengesan kawanan ikan.
Dr. Din yang tidak jemu menggayakan jig berjaya memperoleh tangkapan yang lumayan iaitu kerapu bara bersaiz hampir sekilogram yang merupakan lesen pertamanya.
Setelah itu, baru saya mula bersauh dengan menyasarkan ikan karang dan mencari ikan kecil sebagai lauk menggunakan apollo.
Gerong belang penutup
Sedang dalam suasana mencari ikan lauk menggunakan apollo, Anuar pula sibuk menghulur umpan udang hidup.
Akhirnya, usaha dia berjaya apabila dengan tidak semena-mena jorannya yang dipacak di pemegang melentur ditekan ikan.
Perlawanan mengambil masa lebih 10 minit dan akhirnya terdampar seekor ikan gerong belang bersaiz besar, sekali gus menjadi penutup pada trip kali ini.
Jelas terpancar kegembiraan di wajah semua pemancing apabila masing-masing dapat melampiaskan keinginan memancing di laut setelah sekian lama bot tersadai akibat Monsun Timur Laut.
Ditambah pula dapat mendaratkan ikan-ikan ikon Penyabong seperti ebek kapak dan gerong belang.














