MELAKA – Seorang lelaki parah manakala seorang pemandu e-hailing dan penumpang wanita cedera selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.45 malam itu, pemandu kereta jenis Perodua Alza, Noor Hizam Jaapar, 49, dan Nur Ameera Zulkepli, 21, mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan kaki.
Seorang lagi mangsa lelaki berusia 35 tahun yang juga pemandu kereta jenis Perodua Myvi mengalami kecederaan parah pada kepala dan dirawat di zon merah Hospital Melaka.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian Perodua Alza dalam perjalan dari Mahkota Parade menghala ke Banda Hilir manakala arah perjalanan Perodua Myvi tidak dapat dipastikan.
“Setibanya di lokasi Perodua Alza telah dilanggar oleh Perodua Myvi yang datang dari arah bertentangan. Kemalangan dipercayai berlaku selepas Perodua Myvi dipandu seorang pekerja pusat beli-belah terbabas lalu membelok ke kanan sebelum bertembung.
“Akibat pelanggaran itu pemandu Perodua Alza dan penumpang wanita mengalami kecederaan dan dirawat di zon kuning Hospital Melaka. Pemandu Perodua Myvi turut dikejarkan ke hospital sama kerana cedera parah pada kepala,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE