KOTA KINABALU – Beratus-ratus penduduk di Kampung Cempaka Likas di sini terpaksa meraikan kehadiran 1 Ramadan dalam keadaan serba kekurangan selepas perkampungan mereka terlibat kebakaran awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu, sebanyak 50 rumah setinggan yang terletak di perkampungan atas air musnah terbakar.
Bagaimanapun, setakat petang semalam, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kejadian juga masih dalam siasatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 5.41 pagi sebelum 11 anggota dari BBP Lintas dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Operasi memadam kebakaran turut dibantu 16 anggota dari BBP Kota Kinabalu.
“Sejurus tiba, pasukan bomba bertugas mendapati kebakaran melibatkan rumah setinggan jenis tidak kekal dengan anggaran sebanyak 50 buah rumah yang terlibat.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan semalam.
Sementara itu, seorang penduduk dikenali Abdullah, 52, mengakui ini adalah ujian terbesar yang perlu dihadapi keluarganya ketika umat Islam lain bergembira untuk menyambut 1 Ramadan hari ini.
“Ramai penduduk telah membuat persiapan untuk berpuasa dengan masing-masing sudah membeli kelengkapan makanan untuk bersahur.
“Tidak sangka pula kebakaran berlaku sehari sebelum kita berpuasa. Buat masa ini, saya sendiri tidak pasti perlu tinggal di mana kerana semua barangan telah musnah terbakar,” katanya.














