fbpx
ANTARA acara yang berlangsung ketika KLFE 2025.

KL Fishing Expo 2025 berlangsung meriah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

EKSPO tahunan ini menghimpunkan pelbagai jenama terkemuka, pemancing profesional dan komuniti pemancing dari seluruh negara dalam satu platform yang penuh informasi serta inovasi.

Bertempat di Taman Tasik Metropolitan Kepong, Kuala Lumpur, ekspo selama dua hari anjuran KarauZone dengan kerjasama Outdoor Expo dan Persatuan Pemancing SeMalaysia ini telah memasuki tahun kedua penganjurannya.

Menurut Jatt daripada KarauZone, idea untuk menganjurkan ekspo itu terbit selepas kejayaan acara lalu.

“Pada mulanya, cadangan untuk ekspo ini hanya sekadar ‘cakap mulut’ di antara saya dan Fathee Aizat Razali daripada Outdoor Expo. Selepas melihat sambutan ekspo yang dianjurkan di Kelana Jaya, Selangor, maka pada Disember 2023 kami mula merangka pelan awal untuk merealisasikan penganjuran ekspo pemancing,” katanya.

Tumpuan kaki pancing

Salah satu tarikan utama di expo ini adalah pameran dan jualan pelbagai peralatan memancing, selain pakaian untuk aktiviti memancing terkini da­ripada pelbagai jenama tempatan serta antarabangsa.

Antara jenama tempatan dan antarabangsa yang mengambil bahagian ialah Ozmy X Tomanzilla, Fz Fishing Studio X Kerisi Marine, TCE Tackles, Karauzone, Angler’s Department, The White Kayaker, Ryoko International, Trilo

Outdoor, Lure Haven, Kurodai, Trickyfish, Sbmrge Clothing, FF Blades serta banyak lagi.

Barisan pemenang Kuala Lumpur Casting Challenge 2025.

Pastinya, banyak barangan dijual dengan harga istimewa sepanjang acara berlangsung, termasuk tawaran ‘beli satu percuma satu’ serta diskaun hampir 50 peratus bagi produk-produk tertentu.

Kuala Lumpur Casting Challenge 2025

Bagi mereka yang ingin mencabar kemahiran memancing gewang, pertandingan Kuala Lumpur Casting Challenge 2025 turut berlangsung sebagai acara kemuncak pada hari kedua sempena KLFE 2025.

Sejumlah 200 orang pemancing telah mengambil bahagian dalam acara tersebut dengan menjadikan Taman Tasik Metropolitan bersebelahan dewan acara sebagai lapangan menguji kebolehan mengilat.

Walaupun hujan turun sejurus siren dibunyikan, namun ia sedikit pun tidak mematahkan semangat peserta, malah lebih fokus dalam memburu strike.

Seperti yang anda semua maklum, hujan menyukarkan peserta untuk melihat kedudukan toman menimbul mengambil udara, sekali gus menyebabkan kebanyakan peserta menukar teknik atau sasaran spesies ikan yang berlainan.

Suasana mencuci mata dan membeli-belah ketika ekspo.

Toman seberat 9.41 kilogram (kg) yang dinaikkan oleh Muhammad Farhan Mohd. Kamaluddin dinobatkan sebagai juara edisi kali ini.

Turut menjadi perhatian apabila seorang pemancing wanita berjaya merangkul hadiah kategori istimewa dengan ikan belida seberat 4.62kg. Kategori haruan pula menjadi milik Muhammad Zareef Khan Esa dengan berat 1.59kg.

Medan erat silaturahim

Ekspo ini bukan sekadar membeli gewang atau mencuba teknik baharu, tetapi ia juga sebagai platform untuk berkumpul dan berinteraksi dengan komuniti pemancing tanah air. Ekspo ini menjadi tempat segala pengalaman, pengetahuan dan inovasi disatukan.

Satu usaha yang bagus buat pihak penganjur kerana berusaha menyemarakkan semula keghairahan ekspo memancing setelah sekian lama Malaysia ketandusan ekspo berkaitan sukan memancing.

Rata-rata pengunjung berasa seronok dengan acara sebegini kerana ia merupakan salah satu tempat perjumpaan seluruh pemancing negara yang biasanya sibuk dengan aktiviti dan trip memancing masing-masing di tempat serta masa berlainan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN