PERASAAN sedih dan marah masih menghantui fikiran penulis apabila teringat kejadian seorang kanak-kanak perempuan telah menjadi mangsa cabul lelaki berusia 19 tahun di Masjid Jamek Sungai Masin, Batang Kali, Hulu Selangor.
Ini kerana, sebagai seorang bapa yang juga mempunyai anak perempuan, penulis turut dapat merasa perasaan ibu bapa kanak-kanak tersebut sewaktu kejadian.
Bukan sahaja anak perempuannya trauma, bahkan ibu bapa juga pasti akan merasai perasaan itu.
Siapa sangka di kawasan masjid yang sebelum ini menjadi antara kawasan selamat untuk orang Islam beribadat kini menjadi sebahagian tempat untuk manusia tidak waras melakukan perbuatan terkutuk.
Lebih menyakitkan hati apabila setiap kali berlakunya tragedi jenayah seperti ini mesti si pelaku mempunyai kad orang kurang upaya (OKU).
Istimewa sangatkah kad ini? Persoalan ini bukan sahaja bermain di fikiran penulis, tetapi orang ramai dan netizen di media sosial juga turut mempersoalkan tentang status OKU berkenaan.
Bukan apa, ia seolah-olah menjadi ‘tiket’ atau ‘lesen’ kepada pemegang kad terbabit untuk melakukan jenayah.
Kejadian melibatkan pemegang kad ini juga bukan sekali berlaku, malah sebelum ini media telah banyak kali melaporkan tentang kejadian kemalangan, jenayah serta perlakuan tidak bermoral melibatkan pemegang kad terbabit.
Tiada niat penulis mempersoalkan tentang status mereka, tetapi pihak berkuasa perlu meneliti semula pemilikan kad ini kerana ia seolah-olah memberi kelebihan untuk melakukan jenayah.
Memetik pandangan seorang tokoh belia OKU, Nur Arif Jasmin di Facebooknya menegaskan, status berkenaan bukan tiket bagi seseorang individu untuk melakukan jenayah.
Malah, kata Ikon Anak Istimewa Selangor (ANIS) itu, mana-mana pesalah jenayah sekiranya terbukti berstatus OKU, wajar dikenakan hukuman setimpal sama seperti individu lain.
“Bila ditangkap, tak semestinya lepas. Akan ada pakar psikiatri yang menguji tahap kewarasan si pelaku ketika kesalahan dilakukan.
“Bila dia terbukti waras pada waktu kejadian, maka dia berhak dapat hukuman setimpal sama seperti orang lain,” katanya.
Nur Arif berkata, ada juga segelintir masyarakat yang mempersoalkan sekiranya individu itu OKU pembelajaran atau mental, kenapa kemaluan dia tidak OKU.
“Saya boleh bagi contoh autisme, kebanyakan Muslim autisme mengalami masalah perkembangan akal, mungkin usia fizikal 25 tetapi mental masih tujuh tahun.
“Sungguhpun akal mereka terbantut tetapi badan mereka telah sempurna membesar dan ciri-ciri seksual sama seperti dewasa lain.
“Ini menunjukkan yang golongan neurodivergent ini juga ada kecenderungan syahwat meskipun tahap akal mereka masih kanak-kanak,” jelasnya.
Justeru, nasihat penulis jika anda mempunyai ahli keluarga OKU, sentiasalah memantau aktiviti mereka dan masyarakat juga perlu peka terhadap individu seperti ini.
Ingat, status OKU bukan lesen untuk melakukan jenayah.















