BARU-BARU ini tular satu video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan tindakan seorang wanita warga emas menyamar sebagai tetamu sebelum mencuri beg tangan di sebuah rumah yang menganjurkan majlis kenduri kahwin di Pasir Mas, Kelantan pada 1 Februari lalu,
Rakaman CCTV itu disebarkan oleh ahli keluarga mangsa selepas suspek dipercayai mengambil beg tangan berisi wang tunai RM2,500 yang diletakkan di atas almari ketika majlis berlangsung.
Selepas lebih dua minggu, suspek berusia 61 tahun, dicekup semasa menaiki sebuah teksi dipandu suaminya yang berusia 63 tahun.
Suspek mengaku mencuri wang sebanyak RM2,500 semasa berada di kenduri rumah mangsa di Pasir Mas.
Warga emas itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes menceroboh rumah, mencuri di dalam rumah, sekatan buang daerah (PCO) yang dihadkan, meragut dan mencuri.
Kesemua rekod itu melibatkan pelbagai lokasi di Kelantan dan Terengganu, manakala PCO pula di Slim River, Perak.
Tangkapan suspek melibatkan kes di Pasir Mas itu kemudian membongkar satu lagi kes curi duit RM3,000 di dalam beg tangan yang dipercayai didalangi suspek sama di satu majlis kenduri perkahwinan di Tumpat pada Februari 2024.
Mengulas mengenai perkara ini, penganalisis jenayah dan pakar kriminologi, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, melihat kepada usia dan rekod jenayah yang dimiliki suspek, wanita tersebut dipercayai sudah lama terlibat dengan kegiatan jenayah melibatkan kes-kes kecurian.
Menurutnya, menerusi rakaman CCTV yang tular, perwatakannya yang dilihat baik, ditambah pula seorang warga emas, pastinya membuatkan orang ramai atau tuan rumah tidak mudah curiga dengan tingkah lakunya.
“Daripada gerak-gerinya, kita dapat lihat dia sudah memerhatikan kawasan tertentu di dalam rumah mangsa sebelum membawa lari beg tangan berisi wang.
“Dia juga sudah pasti tahu setiap rumah yang menganjurkan majlis perkahwinan akan ada wang hantaran atau wang daripada tradisi ‘salam kaut’. Justeru, suspek akan lebih cenderung untuk menyasarkan bilik-bilik utama di dalam rumah mangsa yang menjadi tempat simpanan barangan berharga.
“Apabila ramai tetamu di rumah, ditambah pula suspek kelihatan seperti penduduk kampung, tidak mudah untuk tuan rumah mengesyakinya. Disebabkan itu, lebih mudah suspek menjalankan kerja,” katanya.
Katanya, berdasarkan pengalamannya, kes kecurian ketika majlis perkahwinan telah berlaku sejak dahulu lagi kerana ia merupakan satu laluan mudah untuk pencuri mengakses kediaman mangsa.
Menurutnya, sehubungan itu, tuan rumah perlu sentiasa peka dengan gerak-geri individu yang keluar dan masuk ke dalam rumah semasa majlis dianjurkan.
“Tuan rumah boleh membahagikan tugasan kepada ahli keluarga terdekat untuk menjaga kawasan atau bilik yang disimpan semua barangan berharga.
“Kebiasaannya, penganjuran majlis kenduri di rumah melibatkan ramai ahli keluarga. Jadi, tugasan menjaga barangan berharga boleh diagihkan kepada mereka yang boleh dipercayai dan tidak hanya fokus di depan rumah untuk menyambut tetamu,” ujarnya.
Katanya, perancangan baik melibatkan seluruh ahli keluarga mampu menutup ruang dan peluang kes kecurian dengan modus operandi suspek menyamar sebagai tetamu.















