MELIHAT kepada lima tahun lalu dan sebelumnya, rekaan jenis kediaman bersaiz kecil atau rumah kompak di Malaysia masih dianggap satu perkara baharu dan bukan ikutan.
Mungkin kerana saiznya yang kecil dianggap tidak sesuai untuk didiami sekeluarga, di samping gaya hidup sebegitu dilihat janggal bagi segelintir warga tempatan.
Bagaimanapun konsep binaan rumah kompak itu semakin mencuri perhatian selepas pandemik Covid-19 pada tahun 2020 sekali gus menjadi pilihan.
Menurut tukang rumah, Mohammad Azlan Razali, 40, jenis binaan sebegitu dianggap sebagai trend dan mendapat permintaan tinggi terutama di bahagian utara tanah air.
Katanya, selain menjadikan rumah kompak sebagai inap desa, kediaman ‘kotak mancis’ itu turut dijadikan sebagai persinggahan sekiranya berkunjung ke kampung terutama ketika cuti sekolah atau sambutan perayaan.
“Saya sudah terlibat dalam pembinaan ini sejak 20 tahun lalu dan mula aktif membina rumah kompak sejak tiga tahun lalu. Tidak dinafikan kediaman sebegini banyak mendapat permintaan kerana saiz yang kecil dapat menjimatkan keluasan tapak.
“Binaan rumah kompak juga lebih memberi fokus kepada keperluan ruang yang diperlukan sahaja seperti bilik tidur, dapur, ruang makan, tandas dan ruang tamu. Setiap bahagian itu sudah ditetapkan fungsinya agar tidak berlaku pembaziran ruang atau perabot tidak berfungsi,” katanya kepada CitaRasa.

Jelasnya, bilangan perabot dan perhiasan yang berlebihan juga hanya akan membuatkan sesebuah ruang kelihatan sempit dan padat.
Disebabkan itu, fungsi perabot yang memiliki kelebihan seperti boleh lipat atau ruang simpanan misalnya meja kopi yang mempunyai ruang penyimpanan di bawahnya menjadi keutamaan buat rumah kompak.
Memandangkan ruang yang terhad, pemilihan jenis peralatan elektrik juga memainkan peranan penting agar dapat memberikan keselesaan kepada penghuni dan juga menjimatkan ruang.
Berkongsi tip susun atur atau dekorasi rumah kompak, kata Mohammad Azlan, sebaiknya pilih peralatan elektrik yang memiliki pelbagai guna dan bersaiz kecil agar mudah untuk disimpan di ruang penyimpanan.
Begitu juga pilih peti sejuk bersaiz sederhana mengikut kesesuaian ruang bagi mengelakkan barangan elektrik itu menjadi tumpuan utama rumah.
“Buat pertimbangan dengan teliti agar tidak berlaku kesilapan. Dapatkan pelan lantai dan lakukan kiraan saiz perabot berdasarkan maklumat yang ada. Perabot tidak perlu terlalu besar, jadi pilih sekadar perlu dengan fungsi maksimum,” katanya.
Terangnya, selain barangan dalaman, pemilihan warna dan corak jubin juga mempengaruhi ilusi.
“Pilih rona yang tidak terlalu gelap kerana bimbang ruang akan kelihatan semakin sempit. Cuba gunakan warna putih, coklat muda atau kelabu muda agar rumah kelihatan lebih luas dan terang,” katanya.
Tambahnya, lokasi dan jumlah tingkap juga membantu untuk beri sumber pencahayaan semula jadi yang bukan saja menjimatkan penggunaan lampu, tetapi dapat mewujudkan suasana nyaman dan membantu sistem pengudaraan.














