fbpx
Gambar hiasan.

K2

Hukum minta cerai bila suami dipenjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sekiranya seorang suami berada di penjara, maka siapakah yang bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya? Mohon penjelasan Datuk Mufti.

JAWAPAN: Dalam kehidupan berumah tangga, perceraian merupakan perkara yang dibolehkan sekiranya terdapat sebab-sebab yang dibenarkan oleh syarak. Isteri berhak menuntut perceraian apabila suami tidak dapat menjalankan tanggungjawabnya.

Meskipun begitu, ia bukanlah suatu perkara yang disukai oleh Allah SWT sepertimana hadis yang diriwayatkan oleh Thauban bahawa Rasulullah SAW bersabda:

“Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan, maka haram baginya bau syurga.” (Riwayat Abu Daud)

Hadis di atas berbentuk ancaman diberikan kepada isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa ada sebab-sebab untuk berbuat demikian.

Hadis ini juga menyebut, ‘haram baginya bau syurga’ yang bermaksud bahawa wanita-wanita ini bukan sahaja tidak dapat menghidu bau syurga, bahkan tidak akan memasukinya.

Dalam mazhab Syafi’i, Imam Nawawi ada menyatakan hukum perihal suami yang meninggalkan isterinya atau berada jauh daripadanya. Sekiranya berita atau perkhabaran tentang suami masih lagi diketahui, maka pernikahan itu tetap berterusan.

Hakim berkuasa untuk memerintahkan nafkah isteri diberi menggunakan harta milik suami jika harta tersebut berada di tempat tinggal isterinya. Namun, sekiranya suami tidak mempunyai harta di tempat tinggal isterinya, maka hakim itu berhak membuat tuntutan nafkah isteri kepada hakim negeri suaminya.

Selain itu, dalam mazhab Maliki ada dijelaskan bahawa isteri boleh menuntut perceraian sekiranya suami dipenjara. Al-Dusuqi menyatakan ketiadaan suami sepanjang tempoh pemenjaraan boleh memberi mudarat kepada isteri dan dibimbangi isteri itu akan terjerumus ke dalam penzinaan sekalipun suami tidak berniat untuk berbuat sedemikian.

Tempoh ketiadaan suami mestilah dalam suatu tempoh yang lama sekitar satu tahun atau lebih daripada itu.

Pendapat yang sama disebutkan dalam Fatawa al-Kubra bahawa kemudaratan yang menimpa isteri disebabkan meninggalkan hubungan kelamin atau ketiadaan nafkah membolehkan isteri menuntut fasakh.

Dalam hal ini, syarak tidak mengambil kira sama ada suami mempunyai niat ataupun tidak, atau sama ada suami berkemampuan ataupun tidak. Justeru, hukum ini terpakai dalam permasalahan isteri kepada tawanan perang, suami yang dipenjarakan, suami hilang atau seumpama dengannya.

Selain itu, Ibn Qudamah menjelaskan berkenaan situasi suami yang tidak berkemampuan atau tidak berkeupayaan untuk memberikan nafkah kepada isteri.

Dalam isu ini, isteri mempunyai pilihan sama ada bersabar dan meneruskan pernikahan atau menuntut perceraian.

Sekiranya isteri membuat tuntutan perceraian, maka hakim mempunyai hak untuk memutuskan pernikahan.

Kesimpulannya, hukum isteri meminta cerai kerana suami dipenjara adalah dibenarkan di sisi syarak, bahkan isteri berhak untuk membuat pilihan sama ada untuk meneruskan atau membubarkan perkahwinan.

Hal ini kerana, suami masih lagi dianggap hidup walaupun dia berada di dalam penjara, bahkan isteri juga berhak menuntut nafkah sepanjang tempoh tersebut sekiranya suami berkemampuan.

Selain itu, hujah pendapat yang membenarkan perceraian adalah kerana dikhuatiri isteri menderita akibat kemudaratan sepanjang tempoh pemenjaraan.

Ulama mazhab Maliki membenarkannya jika tempoh itu melebihi satu tahun, bahkan suami juga dihukumkan seperti tiada dan ketiadaannya itu berlaku tanpa keuzuran.

Bagaimanapun, sekiranya isteri mampu bersabar, maka itu adalah lebih baik.

Dinasihatkan juga pasangan merujuk kepada Mahkamah Syariah Negeri berkaitan urusan-urusan ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN