KOTA BHARU – Sikap tidak cerewet dan mudah mendengar menjadi faktor sesetengah lelaki dari Kelantan memilih wanita dari Selatan Thailand untuk dijadikan pasangan hidup.
Perwatakan lemah lembut dan pandai mengurus rumah tangga juga antara punca golongan lelaki tertawan untuk berkahwin dengan wanita seberang.
Seorang kontraktor, Nordin Hassan, 60, berkata, isteri ketiganya berasal dari Kampung Weng, Sungai Golok di Thailand dan sudah berkahwin dengan wanita itu selama 20 tahun.
Katanya, dia bernikah di Selatan Thailand ketika isterinya berusia 25 tahun, dengan berwalikan bapa.
“Isteri pertama dan kedua wanita tempatan. Saya berkenalan dengan isteri ketiga dan terpikat dengan percakapan serta perwatakan lemah lembutnya.
“Bukan untuk membezakan keupayaan masing-masing, tetapi isteri ketiga saya lebih pandai menguruskan rumah tangga berbanding dua lagi orang rumah,” katanya kepada Kosmo!.
Nordin berkata, perkahwinannya dengan wanita Thailand itu mendapat restu isteri pertama dan kedua, malah dia mampu menanggung kesemua isteri biarpun jika mereka tidak bekerja.
Katanya, dia membawa isteri ketiganya itu ke Kelantan selepas berkahwin dan sudah membina sebuah rumah untuk wanita tersebut hidup dengan selesa di sini.
“Sejujurnya, isteri ketiga saya tidak cerewet berbanding dua lagi isteri. Dia mudah dengar kata dan paling penting pandai urus rumah tangga,” ujarnya.
Seorang pesara kerajaan, Abdul Hamid Jaafar, 65, berkata, dia mengahwini wanita Thailand untuk dijadikan isteri kedua selepas bersara kira-kira lima tahun lalu.
Katanya, dia sudah mengenali beberapa wanita dari Selatan Thailand dan terpikat dengan layanan mesra dan kerajinan mereka.
“Wanita Melayu di Selatan Thailand tidak seperti masyarakat di sini. Mungkin mereka masih lagi hidup dalam suasana kampung, jadi golongan wanitanya lebih beradab.
“Saya difahamkan wanita Thailand juga ramai yang meminati lelaki Malaysia. Ramai juga sudah menetap di Kelantan selepas berkahwin,” katanya.
Lain pula bagi seorang mekanik, Mohamad Abu Bakar, 35, apabila dia menaruh harapan untuk bernikah dengan wanita Thailand meskipun sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.
Menurutnya, dia sejujurnya meminati wanita Selatan Thailand apabila mengenali beberapa wanita dari kawasan tersebut.
“Saya bahagia dengan perkahwinan sedia ada, cuma tidak salah untuk memasang niat jika mempunyai kemampuan.
“Wanita Thailand memiliki ciri-ciri sama dengan wanita Melayu, cuma tidak dinafikan mereka lebih lemah lembut dalam percakapan,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan mendedahkan ramai lelaki dari negeri ini memilih untuk bernikah dengan wanita Thailand, manakala jejaka dari Pakistan pula menjadi pilihan wanita Kelantan.
Pengarah JIM Kelantan, Mohamed Yusoff Khan Mohd. Hassan berkata, dapatan itu diperoleh susulan peningkatan jumlah permohonan pas pasangan suami isteri bagi kategori tersebut dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.














