ALOR SETAR – Terdapat banyak kes penipuan atau manipulasi cop pada perhiasan emas yang menyebabkan ramai pelanggan kecewa apabila barang kemas lama yang mahu dijual semula sebenarnya tidak berharga.
Eksekutif Kanan Pemasaran Digital Emas Faiz Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, Muhammad Harith Saad berkata, pihaknya sering menerima kes seperti itu dan boleh dikatakan lebih 10 pelanggan sebulan mengalami nasib sedemikian.
“Kes seperti ini sudah lama berlaku termasuk perhiasan emas lama. Sebagai contoh, bila kita buat ujian pada perhiasan emas, kita dapati ia bukan emas meskipun cop memaparkan 916.
“Ada juga loket bahagian penyangkut atau ring cop 916 tetapi bahagian badan loket emas 585 dan ada 375, jadi orang ingat keseluruhan barang kemas itu mengikut cop 916 yang ada,” katanya di sini baru-baru ini.
Katanya, ada juga barang kemas lama yang mempunyai cop 18k dengan pelanggan memaklumkan membelinya pada tahun 1980 dan 1990-an tetapi bila diuji, ia bukan emas.
“Hanya cop sahaja tetapi bukan emas. Jika tulen, emas 18k ini adalah emas 750. Manipulasi cop ini bukan perkara baharu tetapi dah lama.
“Kes barangan kemas jenis emas putih pun pernah terjadi penipuan apabila ada pelanggan yang simpan hampir 40 tahun selepas pihak penjual beritahu itu emas putih tetapi bila bawa ke kedai kami nak jual semula, ia bukan emas tetapi perak,” ujarnya.
Berkongsi beberapa kisah membabitkan pelanggan, kata Muhammad Harith, seorang pelanggannya memberi pinjam wang kepada seorang rakan, namun peminjam itu tidak dapat melunaskannya lalu memberi rantai tangan sebagai ganti, tetapi kena tipu rantai itu bukan emas,” jelasnya.
Katanya, terdapat juga kes terutama golongan lelaki memberitahu mereka membeli emas yang tiada cop dalam bentuk ketul kecil sekitar satu hingga 3 gram.
“Mereka beritahu beli daripada kawan bahawa emas itu kononnya dilebur hasil ekstrak daripada barangan komputer dan elektronik oleh kawan tersebut, bila diuji ia bukan emas.
“Namun emas yang diekstrak daripada cip komputer dan motherboard pun kami terima asalkan emas dan lulus ujian ketulenan emas,” katanya.















