BANDAR Abu Dhabi yang merupakan salah satu kota terkenal di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dikenali dengan iklim panas dan pernah mencatat suhu setinggi 50.8 darjah Celsius pada Julai tahun lalu.
Disebabkan itu, masyarakat setempat lebih memilih untuk tidak keluar rumah atau ke kawasan terbuka ketika cuaca panas kecuali mempunyai urusan penting.
Perbuatan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada peniaga yang menjalankan perniagaan di kaki lima bangunan memandangkan jumlah pelanggan berkurangan terutamanya pada musim panas.
Bagi mengatasi masalah itu, pihak berkuasa Abu Dhabi telah memperkenalkan solusi baharu bagi membolehkan pengunjung berjalan sambil membeli-belah atau bersantai di kafe dengan lebih nyaman.
Baru-baru ini, Abu Dhabi telah mencuri perhatian dunia apabila mendedahkan kewujudan laluan pejalan kaki luar bangunan (outdoor) pertama di kota itu yang berpendingin hawa.
Menurut laporan berita Gulf News, inovasi itu amat menakjubkan kerana memang sukar untuk mengaitkan kawasan outdoor dengan penghawa dingin.
Menariknya, teknologi yang diperkenalkan itu mampu mengekalkan suhu sekitar pada tahap 24 darjah Celsius sepanjang masa walaupun ketika musim panas.
Ini sekali gus dapat memberi keselesaan kepada pengunjung di laluan pejalan kaki Al Nahyan berhampiran bangunan komersial Al Mamoura.

Nama Al Nahyan diambil sempena nama tokoh politik Mohamed bin Zayed Al Nahyan yang juga Presiden UAE sejak 2022.
Dilancarkan oleh Jabatan Perbandaran dan Pengangkutan (Department of Municipalities and Transport), projek tersebut merupakan fasa pertama dalam visi kerajaan tempatan untuk memastikan suhu di tempat awam berada tahap nyaman dan selesa.
Laluan itu telah mula digunakan sekitar awal bulan ini dan menjadi salah satu tarikan utama penduduk setempat serta pelancong asing.
Difahamkan selepas ini, teknologi yang sama akan dipasang di laluan-laluan pejalan kaki lain di sekitar Abu Dhabi.
Sementara itu, kaedah yang digunakan bagi membolehkan kawasan tersebut mencapai suhu 24 darjah Celsius adalah dengan ‘menanam’ sistem penyejuk pada lantai laluan pejalan kaki berkenaan.
Alat tersebut diletakkan secara tersusun pada jarak tertentu.
Selain itu, dinding pemisah laluan pejalan kaki dan bumbung mempunyai lubang-lubang kecil bagi membolehkan aliran pengudaraan, selain bertindak sebagai penapis sinaran cahaya matahari.
Lubang-lubang kecil itu turut dijadikan sebagai dekorasi pada kerusi di ruang santai bagi membolehkan pejalan kaki meluangkan masa beriadah di sepanjang laluan tersebut.
Menariknya, laluan pejalan kaki sepanjang 500 meter itu dilengkapi deretan premis seperti kedai serbaneka, kafe dan butik.

Memandangkan ia menggunakan penyaman udara yang ‘tertanam’ di bahagian lantai, mungkin ramai menjangkakan kawasan itu bising dengan pencemaran bunyi.
Sangkaan anda itu silap kerana dinding atau tiang-tiang di laluan tersebut turut dilengkapi teknologi penebat bunyi untuk menyerap bunyi bising.
Situasi ini membolehkan pejalan kaki melalui kawasan tersebut dengan tenang dan nyaman tanpa diganggu oleh bunyi peralatan.
Disebabkan bangunan Al Mamoura dibina berhampiran jalan raya, dinding penebat bunyi itu juga secara tidak langsung dapat mengurangkan pencemaran bunyi di kawasan terbabit.
Jadi, para pengunjung boleh menikmati masa rehat bersama keluarga dan rakan-rakan dengan lebih selesa terutamanya mereka yang berjalan kaki pada waktu pagi atau petang.
Ini menjadikan laluan pejalan kaki itu sebagai salah satu projek inovatif untuk menjadikan gaya hidup masyarakat di Abu Dhabi lebih menyeronokkan.
Untuk makluman, Al Mamoura yang dibangunkan oleh Aldar Developers memiliki dua blok bangunan tujuh tingkat.
Hartanah tersebut termasuk unit pangsapuri yang terdiri daripada studio tiga bilik tidur.
Kewujudan laluan pejalan kaki itu sekali gus menjadikan kawasan tersebut sebagai tumpuan pelabur.
Malah, nilai hartanah di bangunan Al Mamoura dipercayai telah meningkat lebih-lebih lagi di sekitar laluan berpendingin hawa.
Persekitaran nyaman tersebut membolehkan penduduk dan pelawat menikmati aktiviti luar sepanjang masa, biarpun ketika musim panas terutama buat kanak-kanak serta warga emas.














