IPOH – Penceramah bebas popular, Datuk Ustaz Mohd. Kazim Elias mendedahkan namanya disalah guna oleh segelintir pihak sejak lebih 10 tahun lalu untuk menipu orang ramai hingga berjaya mengaut keuntungan haram mencecah belasan ribu ringgit.
Mohd. Kazim berkata, scammer menggunakan taktik mengutip derma kononnya digunakan bagi keperluan Pusat Pendidikan Al-Barakah (Al-Barakah) yang diasaskan beliau.
Katanya, pelbagai kaedah penipuan lain dilakukan pihak tidak bertanggungjawab dengan menggunakan nama beliau di negeri ini.
“Antaranya nama saya digunakan untuk skim saham tidak wujud bagi memperdaya warga emas.
“Ada satu ketika, seorang wanita yang menjadi mangsa bertanya kepada saya bila dia akan mendapat pulangan pelaburan RM15,000 untuk Al-Barakah. Saya tidak boleh buat apa dan hanya boleh menasihatkannya supaya membuat laporan polis,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Mohd. Kazim, selain itu, scammer turut pergi ke rumah-rumah mangsa di kawasan kampung terutama mereka yang mempunyai bendang bukan sahaja di Perak, tetapi di Pulau Pinang dan Kedah.
Jelas beliau, scammer meminta derma kononnya untuk membiayai anak-anak yatim Al-Barakah.
“Orang kampung bila dengar Al-Barakah mereka terus beri derma. Bapa mentua saya di Kedah pernah didatangi orang seperti ini tetapi berjaya mengelak daripada menjadi mangsa kerana dia tahu mengenai keadaan pusat pendidikan saya,” katanya.
Ujar Mohd. Kazim, mangsa sering tertipu kerana scammer memakai tag nama kakitangan yang dibuat sendiri dan
nampak seolah-olah pekerja Al-Barakah.
“Ada juga suspek yang mengutip derma di lokasi awam seperti pasar malam, bank dan stesen minyak. Taktik mereka kutip derma RM10 untuk mendapat kalender dan risalah doa secara percuma yang diperoleh ketika ceramah di masjid,” katanya.
Menurut Mohd. Kazim, penipu juga memungut derma kononnya hendak dibuat wakaf al-Quran Al-Barakah.
“Sebahagian orang memaklumkan kepada saya mengenai penipuan tersebut. Ada pula yang hanya maklumkan selepas beri derma.
“Selain itu, ada juga suspek yang menjual ubat-ubatan untuk sakit prostat, kencing manis serta produk perubatan tradisional menggunakan nama saya,” katanya.
Menurut Mohd. Kazim, pihaknya hanya menjual produk keluaran Sinar Al-Barakah seperti kismis, balm serta kopi Ala Kazim.
“Kali terakhir saya dapat kesan penipuan menggunakan nama saya ialah pada Oktober lalu. Mereka biasanya gagal ditangkap kerana menghilangkan diri dalam masa singkat walaupun ada laporan polis,” katanya.















