Belanak biasanya dijala atau dipukat. Selain dijadikan lauk harian, ia juga dijemur untuk dijadikan ikan kering. Ia juga sering diasinkan untuk dijadikan ikan jeruk dan digunakan sebagai lauk alternatif ketika waktu sukar turun ke laut seperti musim tengkujuh terutamanya bagi masyarakat di pesisir Pantai Timur Semenanjung Malaysia.
Ikan belanak tergolong dalam keluarga Mugilidae. Ia mudah ditemui di kawasan estuari hingga ke pesisir pantai. Ada pelbagai spesies ikan belanak di negara kita dengan bermacam panggilan seperti loban, tamok, kedera, anding, jempol dan lain-lain. Nama yang berlainan mungkin berdasarkan nama tempatan, saiz atau profil berbeza.
Diet utama ikan belanak adalah tumbuhan air seperti alga dan lumut terutamanya yang terapung di permukaan air. Ini adalah antara sebab utama ia sukar dipancing menggunakan umpan.
Bagi mereka yang mahir ‘merasuah’ dan mengumpan ikan ini dengan umpan roti. Itu pun bergantung kepada keadaan pasang surut air yang bersesuaian dan perangai kumpulan ikan belanak di lokaliti tersebut yang sudah biasa ‘dirasuah’ dengan roti.
Namun, baru-baru ini sudah ada teknik terbaharu yang amat efektif untuk memancing ikan belanak. Saya tidak arif bagaimana teknik ini bermula dan siapa yang telah membuat penambah baikannya?
Namun, ia telah menjadi satu fenomena di negeri saya, Kelantan.
Bagi Kamariah Husin dari Pantai Dasar Sabak, memancing ikan belanak ini semudah ABC sahaja. Lantas, saya berkenalan dengannya lebih rapat bertujuan untuk mencungkil rahsia tekniknya itu.
Kunci kepada teknik pancingan belanak Kamariah bukannya menggunakan mata kail, sebaliknya ia adalah botol.
Namun, saya harus mengikut dia memancing bersama untuk melihat dengan lebih dekat cara-cara pancingan yang unik ini.

Sampai sahaja di lokasi, saya melihat gerombolan ikan belanak berenang bebas merata di dalam sungai hingga membuatkan saya amat teruja. Kak Kamariah dan rombongannya tidak menunggu lama, masing-masing mengambil tempat untuk melabuhkan botol.
Menurutnya, botol boleh dilabuhkan sama ada menggunakan tali sahaja (koyan) ataupun set pancing (joran dan kekili). Penting sekali jika menggunakan set pancing harus menggunakan joran jenis berbatang keras, kelas medium heavy atau heavy untuk mengelakkan joran patah akibat beban botol dan ikan yang berat.
Tali utama daripada jenis tangsi atau sulam berkekuatan 30 hingga 50 paun (lb) diikat terus ke botol. Umpannya pula mudah sahaja iaitu tepung gandum, jenama apa pun boleh digunakan.
Pesta bermula
Sebaik sahaja semuanya lengkap, kelihatan para pemancing melontarkan botol masing-masing ke sasaran, iaitu kumpulan ikan belanak yang berlegar-legar di hadapan kami.
Hanya sesudu sahaja umpan tepung gandum digunakan setiap kali. Tak sampai seminit menunggu, ikan sudah mula berebut-rebut hendak masuk ke dalam botol untuk makan tepung.
Dalam keributan itu, salah seekor akan terus menerjah masuk ke dalam botol.
Seolah masuk dalam bubu, ia langsung tidak boleh keluar semula dan terus terperangkap. Melihat sudah ada ikan belanak di dalam botol, ia akan cepat-cepat ditarik ke darat. Kadangkala, dua ekor sekali boleh dapat di dalam botol tersebut.
Jika kena dengan masa yang sesuai dan banyak kumpulan belanak bermain air, sekejap sahaja sudah dapat berpuluh ekor belanak untuk dijadikan lauk.
Ikan-ikan ini juga tidak culas, mungkin kerana pemancing tidak menggunakan mata kail yang menyakitkan ikan jika ia terlepas semula.














