DALAM cabaran dunia e-sukan yang sengit dengan persaingan antara pemain-pemain berbakat, Mohd. Haikal Noh mengukir namanya di peringkat global dalam kancah eFootball (konsol).
Bermula daripada minat bermain permainan video bola sepak di kafe siber, pemuda berasal dari Kota Tinggi, Johor tersebut berjaya menjadi pemain ranking nombor satu dunia dalam eFootball 2023 Divisyen 1.
Kejayaan itu menyaksikan pemuda berusia 27 tahun tersebut mengumpul sebanyak 1,540 mata sekali gus menjadi pemain pertama Malaysia meraih tangga teratas.
Bukan itu sahaja, anak bongsu daripada dua beradik tersebut turut mengharumkan nama negara apabila merangkul emas pada Kejohanan E-Sukan Komanwel (CEC) 2022 di Birmingham, England.
Selain itu, Haikal juga pernah menduduki tempat ketiga di kejohanan IFel SEA Championship 2023 di Indonesia serta berjaya mara ke peringkat separuh akhir untuk Sea Cup Championship 2021 di
Taiwan dan Sukan Asia 2018 di Indonesia.
Mengimbau penglibatan pertamanya dalam dunia eFootball, bapa kepada seorang anak tersebut akui kemalangan ketika bermain bola sepak yang dialaminya pada usia 12 tahun memberi hikmah.
“Ketika kecil, saya memang aktif main bola sepak dan memegang posisi penjaga gol sehingga dipilih mewakili pasukan daerah Kota Tinggi.
“Tetapi satu hari, saya tersalah tepis bola sehingga menyebabkan tangan saya patah sekali gus membantutkan perjalanan saya sebagai pemain bola sepak fizikal.

“Dengan itu, saya buat keputusan untuk menerokai dunia bola sepak melalui virtual di pusat siber dan mula masuk banyak pertandingan,” katanya kepada K-Remaja baru-baru ini.
eFootball merupakan permainan video simulasi sepak bola yang dikembangkan dan diterbitkan oleh Konami yang sebelum itu dikenali sebagai Pro Evolution Soccer (PES).
Permainan tersebut mengalami penjenamaan semula menjadi eFootball pada tahun 2021.
Platform permainan bersifat simulation football itu menawarkan acara meliputi penggunaan konsol, peranti mudah alih (mobile) dan komputer (PC).
Menurut Haikal, ibu bapanya pada mula tidak menyokong hobinya yang suka menghabiskan banyak masa di pusat siber kerana menganggap anak mereka sekadar membuang masa.
Namun, kemenangan demi kemenangan yang diraih di kejohanan-kejohanan kecil e-sukan membuka mata kedua-dua orang tuanya itu tentang masa depan sukan berkenaan.
Ujar graduan diploma perancangan sumber perusahaan Universiti DRB HICOM itu, bakatnya mula dihidu pihak pencari bakat e-sukan setelah dia meraih tiket mewakili Malaysia ke Sukan Asia 2018.
“Ketika di kolej, saya menyertai kejohanan pencarian wakil Malaysia ke Sukan Asia. Alhamdulilah, saya memenangi kelayakan tersebut.
“Bermula dari situ, karier profesional saya sebagai pemain e-sukan semakin berkembang dan saya mula mendapat tawaran untuk menyertai pasukan MSC Chonburi dari Thailand,” katanya yang berlatih selama enam jam sehari.
Untuk rekod, karier profesional Haikal bermula dengan pasukan Grow up pada 2016, diikuti MSC Chonburi (2018- 2019), Port FC (2019-2021) , Johor Darul Takzim FC (2021-2024) dan HomeBois (2025-sekarang).
Lebih mengagumkan, Haikal menunjukkan peningkatan yang konsisten dalam penyertaannya di Kejohanan Dunia apabila meraih tempat ke-48 di kejohanan ESF World Championship 2022 di
Indonesia, tempat ke-32 di kejohanan ESF World Championship 2023 di Romania, tempat ke-15 kejohanan ESF World Championship 2024 dan tempat kelapan FIFAe World Cup 2024 di Arab Saudi.
Tidak terhenti di situ sahaja, Haikal juga pernah bergelar jurulatih bagi pasukan Sukma Johor dan membawa pulang pingat perak pada Sukan Malaysia (Sukma) 2022 di Kuala Lumpur dan Sukma 2024 di Sarawak.
Mengulas berkenaan target seterusnya, Haikal berkata, dirinya mahu memburu gelaran juara dunia serta terus membantu melahirkan bakat baharu menerusi kerjasamanya bersama N.A.M E Games Centre.
“Untuk tahun 2025, terdapat banyak kejohanan bertaraf dunia dan saya mahu sasarkan gelaran juara dunia bersama HomeBois setelah meraih keputusan memberangsangkan sebelum ini.
“Saya juga mahu terus bantu melahirkan bakat muda dengan mengajar mereka setiap kemahiran yang diperlukan dalam eFootball,” katanya.














