Aktiviti pelacuran dicatatkan sebagai kerjaya tertua di dunia. Beberapa kawasan di ibu negara masih menjadi lokasi aktiviti menjaja seks sejak sekian lama.
Lebih menyedihkan, golongan itu bukan sahaja melibatkan orang muda, tetapi turut membabitkan warga emas yang ‘terjebak’ demi kelangsungan hidup.
Tinjauan penulis di sekitar Lorong Haji Taib, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Lorong Raja Bot, Jalan Chow Kit, Jalan Thamboosamy dan Lorong Changkat mendapati wanita warga emas berbaju kurung, kain batik atau pakaian harian biasa menunggu pelanggan mereka.
“Yang tahu sahaja tahu kami tawar khidmat seks,” itu jawapan pelacur tua ketika ditemui ketika penulis turun padang meninjau golongan itu.
Kata mereka, ada yang hanya dibayar untuk menjadi kawan melepaskan gian dadah. Ada pula yang mengadu mereka menawarkan seks untuk mendapatkan wang membeli dadah dan sewa bilik sebanyak RM50 semalam.
Seorang wanita dikenali sebagai Yah Jepun, 76, ketika ditemui di Lorong Haji Taib dua tahun lalu mengakui dia bergelar pelacur sejak berusia 14 tahun sebaik sahaja menjejak kaki di ibu kota selepas lari dari kampungnya di Pantai Timur apabila dipaksa berkahwin kali kedua dengan lelaki pilihan keluarga.
Katanya, Kuala Lumpur menjadi tempat persinggahan ketika lari daripada masalah yang berlaku di kampungnya.
Namun, setibanya di kota itu, kehidupan Yan Jepun lebih mencabar dan sehingga kini warga emas tersebut masih ‘terperangkap’ dalam kegiatan haram selama lebih 60 tahun.
Baru-baru ini, ketika penulis mendekati golongan penagih dadah yang lanjut usia, hati ini sebak mendengar luahan mereka.
Ramai yang sudah menyesal dan mahu berubah, namun mereka sukar untuk berbuat demikian.
“Sakit bukan senang hendak tinggal (dadah),” kata penagih itu.
Seorang sukarelawan, Shah Aziz Idris, 32, berkata, dia mula aktif melakukan kerja sukarela sejak di peringkat universiti lagi dan kini sibuk menyantuni golongan gelandangan, pelacur serta kelompok penagih di sekitar Kuala Lumpur.
Katanya, saban tahun pelbagai usaha dan perbincangan mengenai isu-isu golongan tersebut giat diketengahkan pelbagai pihak.
“Pihak berkuasa sudah menjalankan tugas mereka, turun pandang dan buat operasi, pihak kerajaan sudah sediakan undang-undang bagi mengawal, peranan media juga melapor tentang keburukan aktiviti-aktiviti tersebut, namun siapa yang masih berdegil? Itu adalah individu yang terlibat.
“Kesedaran perlu bermula dari diri mereka, bukan orang lain. Kasihan apabila ada yang terbiar tanpa ihsan daripada msyarakat sekeliling. Sampai tua hidup sendiri, mati sendiri, takut jenazah mereka juga bersendiri,” katanya.
Jelasnya, golongan tua seperti ini diibaratkan sudah ‘terperangkap’ di Kuala Lumpur, mereka tiada hala tuju atau saudara mara.
“Tak kerja, tiada duit nak makan, nak beli dadah. Ada yang melacur untuk duit, ada yang mengemis untuk duit. Kasihan, tetapi itulah putaran hidup mereka ketika ini. Rasa malu sudah tiada, sebab itu mereka terpaksa tebal muka untuk memenuhi keperluan dan kehendak serta nafsu diri,” katanya.














