fbpx
KEADAAN sekitar Kampung Bukit Budu, Lata Rek di Kuala Krai yang berkabus kira-kira pukul 7 pagi semalam.

‘Dia punya sejuk macam mandi ais’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA KRAI – “Sudah macam mandi ais.”

Demikian komen ringkas seorang penduduk Kampung Bukit Budu, di sini, Mohd. Noor Deraman, 58, apabila diajukan tentang fenomena cuaca sejuk yang melanda daerah ini lebih-lebih lagi pada waktu pagi.

“Keadaan ini boleh diibaratkan seperti mandi ais dan kami memakai pakaian tebal terutamanya pada waktu subuh hingga matahari naik,” ujarnya sambil berseloroh.

Katanya, suhu 20 hingga 21 darjah Celsius pada waktu pagi itu berlaku apabila musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut semakin menghampiri hujung­nya tidak lama lagi.

“Keadaan itu menyebabkan kawasan berkabus pada waktu pagi dan lewat petang. Suhu di kampung ini sejuk berbanding biasa, namun ia tidak seperti yang berlaku sebelum bah ku­ning pada 2014.

“Penduduk ketika itu memang perlu memakai baju sejuk se­perti sedang melancong ke lokasi tanah tinggi. Cuaca ketika ini amat menyenangkan apabila sejuk pada waktu pagi dan panas bermula matahari naik hingga ke waktu asar. Ini merupakan petanda awal musim kemarau akan tiba tidak lama lagi,” kata­nya ketika dihubungi semalam.

Seorang lagi penduduk, Che Rabihah Musa, 44, berkata, perbezaan suhu amat ketara sejak awal Januari lalu terutamanya pada waktu pagi dan malam.

“Keadaan itu menyebabkan segelintir penduduk di kawasan kampung ini memakai baju tebal pada waktu tersebut. Pada saya, suhu sejuk itu tidak 100 peratus sama dengan Cameron Highlands, Pahang kerana cuaca di sana sentiasa sejuk.

“Di Kuala Krai hanya pada waktu-waktu tertentu. Cuaca tetap panas waktu tengah hari hingga petang,” ujarnya.

Kosmo! pada 19 Januari 2015 melaporkan, daerah Kuala Krai di Kelantan itu mengalami cuaca sejuk yang luar biasa. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN