fbpx
Keratan akhbar Kosmo! semalam.

‘Saya hanya disayang ketika masih berduit’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – “Ketika sihat dan masih berduit saya dijaga dengan baik, namun bila semakin uzur dan sudah kehabisan wang, saya ‘dibuang’ macam itu sahaja.”

Demikian luah seorang warga emas kategori asnaf dikenali sebagai Fatimah, 85, yang kini meng­huni Pusat Jagaan Warga Emas Al Ikhlas, di sini baru-baru ini.

Katanya, hidupnya kini bagaikan sebatang kara selepas anak perempuannya meninggal dunia akibat Covid-19, empat tahun lalu.

“Tak ada sapa nak jaga, jadi saya menumpang kasih di pusat jagaan ini. Saya ada lapan cucu tetapi saya tidak tahu sekarang mereka di mana. Dulu saya jaga cucu-cucu tetapi sekarang depa buang saya.

“Saya sudah tidak berguna bagi mereka kerana semakin tua dan uzur, selain kesemua duit simpanan sudah habis, manakala rumah milik saya pula sudah dijual,” luahnya.

Katanya, dia habiskan wang simpanan hasil mengusahakan sawah untuk menyara cucu-cucunya itu sebelum menjual rumah kampung miliknya pada harga lebih RM25,000.

“Demi besarkan cucu-cucu, duit saya habis, sekupang pun dah tak ada. Bila saya dah jadi beban kerana mungkin mengganggu mereka mahu bekerja dan berkeluarga, saya diabaikan.

“Saya terpaksa hidup sendiri sehingga tak ada duit nak makan. Selepas itu saya terpaksa pergi ke beberapa pusat jagaan orang tua di negeri ini dan terakhir mungkin di sini, biarlah saya ‘tutup mata’ di sini,” katanya.

Katanya lagi, dia bagaimanapun bersyukur kerana pengusaha pusat jagaan menjaganya dengan baik dan ditemani penghuni lain yang kebanyakannya senasib dengannya.

“Ada juga kadangkala terdetik di hati, sampai hati cucu-cucu buat saya seperti ini sedangkan sayalah yang jaga makan minum mereka dahulu.

“Mereka langsung tak datang jenguk saya, waktu solat malam saya menangis setiap kali teringat kenangan dulu-dulu,” luahnya sedih.

Kosmo! semalam melaporkan beberapa kisah warga emas yang ditinggalkan di rumah kebajikan kerana anak-anak mereka tidak mahu menjaga mereka.

Selain anak-anak yang me­ninggalkan mereka, ada juga isteri yang meninggalkan suami ketika sudah uzur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN