SERAMAI 10,000 daripada 402,956 calon gagal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang bermula pada 2 Disember lalu.
Lebih mengejutkan apabila 10,000 calon itu gagal hadir pada hari pertama peperiksaan SPM bagi kertas Bahasa Melayu 1 dan 2.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan pada 2 Januari lalu bahawa peratus kehadiran calon SPM untuk sesi pembelajaran 2024 adalah sebanyak 97 peratus.
Angka itu menurun lebih 4,000 orang berbanding SPM 2023, menjadikannya paling rendah dalam tempoh empat tahun.
Meskipun menurun, ketidakhadiran 10,000 calon ini amat membimbangkan dan dipandang serius kerana boleh menjejaskan masa depan mereka.
Di Malaysia, SPM dianggap peperiksaan awam paling besar bagi seorang murid. SPM juga sering dijadikan penanda aras dalam mengukur sistem pendidikan negara.
SPM bukanlah penentu tunggal kejayaan seseorang, namun ia penting sebagai tongkat pengukur masa depan.
Dengan SPM, ia membolehkan murid untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di kolej atau universiti.
Bukan itu sahaja, SPM juga menjadi salah satu syarat kelayakan utama dalam permohonan pekerjaan di pelbagai sektor.
Menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Mohd. Ekhwan Toriman, ketidakhadiran calon dalam menduduki peperiksaan awam adalah satu fenomena yang menggusarkan dan perlu diberi perhatian.
“Ketidakhadiran calon berkait rapat dengan beberapa faktor termasuk sosio-ekonomi, kesejahteraan psikologi dan kecelaruan prioriti kehidupan.
“Sosio-demografi pelajar berisiko tercicir perlu dikenal pasti lebih awal supaya pihak berwajib dapat menyusun atur intervensi yang sesuai,” katanya.
Antara faktor lain adalah perkembangan dunia digital yang memberi peluang pekerjaan kepada golongan muda untuk memperoleh pendapatan dengan lebih mudah.
“Penolakan untuk menduduki SPM kerana tarikan di luar sekolah dianggap lebih menyeronokkan dan menjanjikan kemewahan pantas. Ia bukan perkara baru.
“Kita tidak menolak faktor gig ekonomi menjadi punca yang mendorong mereka untuk tidak hadir SPM,” katanya.
Tambah Mohd. Ekhwan, kelayakan akademik masih menjadi asas dan pemula pada pembinaan kerjaya, meskipun terdapat beberapa pekerjaan yang mementingkan pengalaman serta kemahiran.
“Maka, pengembangan pelbagai kemahiran insaniah perlu dimantapkan dalam sistem persekolahan menerusi kurikulum tersembunyi yang lebih relevan dan responsif budaya,” katanya.
Tidak dinafikan bahawa KPM telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan kualiti pendidikan negara sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
“Untuk impak positif yang segera, pendekatan mikro amat diperlukan. Data ujian psikometrik hendaklah dimanfaatkan bagi memberi hala tuju baru kepada kumpulan ini.
“Selain itu, data mega (big data) juga perlu dimanfaatkan untuk menggerakkan komuniti, ibu bapa, pendidik dan agensi luar sekolah bersama-sama menangani isu ini,” tambahnya.
Acuan setiap negara adalah berbeza-beza dan Malaysia seharusnya menyediakan pendidikan yang selari dengan keperluan negara dan masyarakat.
Justeru, penambahbaikan dalam sistem pendidikan serta penekanan kepada kepentingan pembelajaran yang relevan dapat meningkatkan minat belia dan melahirkan masyarakat minda kelas pertama. -KOSMO! ONLINE














