LIPIS – Lebih 300 penduduk Orang Asli etnik Semai di sini tidak dapat tidur lena sejak seminggu lalu susulan ancaman tiga ekor gajah liar yang dibimbangi merosakkan kediaman mereka di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di sini.
Menurut penduduk, gajah liar itu dikesan telah memasuki kebun getah di pinggir hutan sejak minggu lalu selain berlegar-legar di kawasan perkampungan terutama pada awal pagi.
Seorang penduduk, Amil Kapit, 48, berkata, sejak kejadian itu, mereka tidak dapat tidur dan terpaksa berjaga sehingga pagi kerana bimbang kawanan gajah liar itu menghampiri kediaman.
“Gajah liar ini mulanya menceroboh kebun tanaman ubi kayu, pisang dan kelapa muda untuk mendapatkan makanan selain merosakkan pokok getah muda dengan meragut pucuk muda di kebun berdekatan.
“Kami berjaga malam untuk keselamatan keluarga dan hanya mampu menghalau haiwan liar ini dari jarak jauh dengan menyalakan unggun api,” katanya di Kampung Simoi Baru semalam.
Kata Amil, kejadian itu kerap berlaku sepanjang tahun kerana gajah liar tersebut berada di hutan berdekatan dan turut merayau mencari makanan di perkampungan lain.
Seorang lagi penduduk, Sakina Yok Bageh, 45, berkata, kawanan gajah liar itu telah merosakkan beberapa buah rumah berdekatan kebun tanaman.
“Peralatan dapur dan pakaian turut rosak digeledah gajah liar berkenaan untuk mencari makanan. Mujurlah ketika kejadian kami pulang ke rumah berdekatan.
“Kami tiada pilihan lain selain perlu berjaga sepanjang malam bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.
Kata beliau, penduduk kini mengharapkan tindakan segera pihak berwajib untuk menghalau kawanan gajah berkenaan bagi memastikan keselamatan penduduk.














