ADA pepatah berbunyi, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya yang bermaksud cita-cita tanpa usaha takkan tercapai.
Dalam dunia penciptaan kandungan, apa yang perlu didahulukan sebelum bergelumang dalam bidang tersebut adalah penuhkan dahulu ilmu di dada, sebelum ‘memberi’ sesuatu kepada masyarakat.
Malaysia agak bertuah memiliki anak-anak muda berwawasan dan menjadi kebanggaan negara termasuklah Khairul Aming yang bermula sebagai seorang foodie dan Sofyank, seorang pempengaruh yang memiliki kecintaan mendalam dalam dunia VFX (kesan khas).
Kedua-dua anak muda itu dijemput memberi perkongsian pada acara 1 Billion Followers Summit di Dubai. Perkongsian mereka membuktikan, dalam apa jua bidang diceburi (meski sedikit lari sedikit atau banyak dari jurusan kita belajar di universiti), ilmu akan menerangi segala-galanya.
Buat Khairul atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman, 33, mendapatkan kepercayaan daripada orang ramai sejak bermula dalam dunia digital sembilan tahun lalu bukan perkara yang mudah.
Katanya, kemungkinan untuk berdepan kegagalan akan sentiasa ada sehinggalah dia bertemu titik ‘autentik’ dalam perkara yang diceburinya.
“Bila kita buat konten yang datang daripada hati, saya rasa itulah resipi yang paling sempurna untuk kongsi konten atau kandungan yang autentik kepada audiens.
“Bayangkan sahaja saya seorang ibu yang cuba mengajar anak-anaknya menyediakan scrambled eggs dari awal. Kita buat dengan penuh kasih sayang dan perhatian. Itulah antara resipi jenama Khairul Aming kekal relevan sehingga hari ini sejak 9 tahun lalu,” kata lulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kejuruteraan Mekanikal), Universiti Vanderbilt, AS itu.
Daripada seorang yang introvert dengan latar pendidikan seorang jurutera, Khairul kini merupakan content creator paling berjaya di Malaysia dengan 4.2 juta pengikut (Instagram) dan 5.5 juta (TikTok).
Dalam keghairahan mencipta nama dalam dunia content creation, akan sentiasa ada orang yang akan berkata ‘tidak’ kepada seseorang.
Buat pempengaruh tersohor dunia, Zack King antara tip yang ditinggalkannya ketika berkunjung ke acara 1 Billion Followers Summit adalah jangan mengalah dan percaya dengan ‘timing’.
“Kadang-kadang konten kita bagus cuma dikongsikan kepada dunia pada waktu yang salah. Sama ada kita buat video untuk klien atau diri sendiri, akan ada selalu orang mengatakan ‘tidak’.
“Ada seseorang buat video, dia hanya bawa tangga ke acara-acara sukan dan kemudian berjaya masuk ke stadium secara percuma.
“Apa yang kita perlukan adalah bawa bersama tangga ke setiap acara dan orang akan mula perasan, kita sedang buat sesuatu,” kata Zack yang memiliki 29.1 juta pengikut Instagram.
Pengajarannya, hanya ada satu jalan untuk berjaya iaitu terus memberi ‘statement’ kepada mimpi-mimpi yang belum terbungkam. Seperti kata bidalan ‘benih yang baik kalau dicampak ke darat menjadi gunung dan jika dicampak ke laut menjadi pulau’. -KOSMO! ONLINE














