PETALING JAYA – “Walau apa pun kita perlu tunggu dan lihat serta memantau apa yang akan berlaku pada hari Ahad akan datang”
Demikian reaksi Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali ketika diminta mengulas berkenaan perjanjian gencatan senjata untuk menghentikan perang selama 15 bulan di Gaza.
Ujar beliau, kepercayaan Gaza kepada Israel adalah sifar kerana penduduk Gaza mempunyai pengalaman yang panjang dengan rejim tersebut.
Kata beliau, banyak perjanjian pernah dipersetujui Israel sebelum ini dan sejarah menunjukkan mereka tidak boleh dipercayai dalam hal berkenaan.
“Meskipun gencatan senjata ditandatangani, malangnya serangan Isreal berterusan sepanjang malam sehingga ke pagi. Isreal tidak berhenti dan mereka meneruskan serangan yang menyasarkan rakyat Palestin.
“Gencatan senjata ini akan dikuatkuasakan pada Ahad. Saya berharap dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya perjanjian yang telah ditandatangani tersebut dihormati dan dilaksanakan seperti yang perlu dilakukan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalami.
Semalam media melaporkan, perunding proses damai akhirnya mencapai kesepakatan pada Rabu untuk melaksanakan gencatan senjata di Genting Gaza selepas lebih 15 bulan wilayah tersebut dihujani bom dan meragut lebih 46,000 nyawa.
Seorang rakyat Palestin dari Rafah, Adnan Madi yang kini berada dalam tahun tiga pengajian dalam bidang Sains Komputer di Albukhary International University (AIU) berkata, Israel biasanya akan terus menyerang penduduk Gaza sehinggalah pada hari sebenar gencatan senjata dilaksanakan.
“Walau bagaimanapun, kami berasa bersyukur kerana gencatan senjata ini akan bermula sebelum Ramadan, dapatlah kami membina semula kehidupan yang telah dirosakkan Israel secara perlahan-lahan bagi menyambut kedatangan Ramadan,” katanya.
Seorahg lagi pelajar Palestin, Obada Yassin, 26, berkata, gencatan senjata adalah hasil daripada rundingan yang penuh harapan, di mana rakyat Palestin mengharapkan sedikit kelegaan daripada penderitaan harian akibat penjajahan, sekatan, dan serangan ketenteraan yang tidak berhenti.
-habis














