fbpx
Tuan editor dengan toman ‘bujang’ menggunakan spoon yang direndam hingga ke dasar.

K2

Pesona mengilat di Temenggor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Antara sebab kami memilih Temenggor, Gerik, Perak kerana sejarahnya yang berusia jutaan tahun iaitu lebih tua dari hutan Amazon di Amerika Selatan dan ikannya banyak.

Kini, saya kembali semula atas urusan kerja, cuma kali ini untuk tujuan tinjauan projek acara meman­cing yang bakal dilaksanakan nanti.

Perjalanan
Bertolak dari Petaling Jaya, Selangor seawal pukul 4 pagi, kami tiba di pekan Gerik sekitar pukul 8 pagi untuk bersarapan sambil membeli keperluan. Setibanya di jeti, kami disambut mesra oleh Shah, wakil daripada Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temenggor.

Memandangkan kami sampai tengah hari, kami mengambil keputusan untuk melepaskan lelah sambil menyiapkan peralatan untuk digunakan sebelum keluar di sebelah petang.

Saya memilih membawa satu set pancing ultra ringan dan satu set kelas sederhana, semuanya dipadankan bersama kekili menegak dengan ratio 6:3:1. Faiz Karim pula bersiap sedia bersama dengan tiga set ‘senjata’ untuk game yang berlainan.

Manakala, Octo memilih  satu set pancingan jenis kekili mendatar.

Mengilat
Pada pukul 3 petang, tekong Biyek sudah siap sedia menunggu di bot untuk membawa kami ke lubuk pertama di Temenggor Selatan berhampiran dengan kawasan ternakan ikan di dalam sangkar terapung.

Kawasan itu berupa satu tanjung memanjang yang tenggelam dan di hujungnya terdapat sebatang pokok balak yang saya ibaratkan sebagai penanda lubuk. Spesies sasaran kami sudah pasti ikan sebarau dan toman.

Menurut tekong, kami baru sahaja terlepas waktu air empangan naik kira-kira dua minggu lepas.

Ketika itu, ramai yang sudah bergasak dengan ikan sebarau kerana air baru naik, jadi kawasan berumput di pinggir tebing ditenggelami air.

Ini menyebabkan serangga terperangkap dan yang mana sempat melarikan diri akan naik ke kawasan lebih tinggi.

Ketika inilah kawanan ikan-ikan kecil seperti lampam, terbul, sia, temperas dan lain-lain akan menghimpit tebing mencari makanan.

Pada masa sama, kumpulan sebarau akan turut serta untuk menyergap ikan-ikan kecil ini dan serangga-serangga lain.
Gewang yang paling ideal digunakan adalah jenis topwater seperti popper dan pencil bersaiz kecil antara lima hingga 10 sentimeter (sm). Warna terbaik adalah hijau, coklat dan na­tural.

Suak
Di lubuk pertama itu, tiada apa-apa hasil yang diperoleh. Menurut tekong, hari masih awal, dia hanya mahu menguji kehadiran ikan.

Menurutnya, jika ikan sudah betul-betul masuk ke kawasan itu, pasti akan kelihatan ia menangkap di sana sini.

Lantas, kami berpindah lokasi dengan memasuki suak-suak berhampiran. Enjin bot akan dimatikan sebaik menghampiri hujung suak.

Dari situ, kami akan ber­­an­sur-ansur keluar dengan tekong mendayung bot perlahan-lahan sambil kami melontar gewang ke tebing.

Saya memilih menggunakan gewang jenis minnow 5sm berwarna merah, kononnya mengikut pengalaman ketika mengilat di sungai-sungai sekitar Kampar dan Gopeng.

Tekong Jat dengan sebarau pada hari kedua menggunakan spoon.

Ini kerana, gewang profil sebegitu kerap mendapat sambaran daripada sebarau. Faiz Karim pula memilih sesudu berwarna emas dengan belang oren. Octo pula menggunakan gewang jenis blade berwarna hijau. Beberapa kali juga gewang saya dihentam, namun hanya miss called.

Keadaan cuaca yang sedikit berangin pada petang itu menyebabkan kami agak sukar untuk melayangkan gewang ke zon sasaran.

Pembuka gelanggang pada petang itu, Faiz Karim berjaya menjinakkan toman ‘bujang’ yang menghentam sesudu jenama Bakau.

Selepas itu, hanya seekor toman juvenil yang meragut gewang topwater jenis berkipas (propeller) jenama lama, River2Sea. Hari semakin petang, tekong memutuskan untuk pergi semula ke lokasi pertama tadi.

Lubuk sebarau
Sebaik sahaja enjin dimatikan, sudah kelihatan ‘letupan’ kawanan sebarau di sekeliling bot.

Semakin hari kian gelap, semakin galak kawanan sebarau. Benar seperti apa yang dikatakan tekong, di situ sememangnya ‘kampung’ sebarau.

Hairan, puas tukar bermacam-macam jenis gewang, namun kumpulan sebarau langsung tidak mempedulikan tawaran kami.

Biyek beritahu, kami harus menggunakan gewang saiz kecil kerana kumpulan sebarau itu sedang meligan anak-anak ikan bersaiz bilis. Kami turut saja nasihat dia, namun masih hampa.

Ditambah lagi dengan suasana berangin yang menyukarkan kami mengesan kedudukan tepat kawanan sebarau timbul.

Walaupun kedudukan bot kami berada di tengah-tengah frenzy se­barau, namun hanya seekor berjaya dinaikkan dengan spoon. Langit semakin gelap, kami memutuskan untuk pulang ke boathouse.

Hari kedua
Kami keluar lewat dari waktu yang sepatutnya, kira-kira pukul 9 pagi. Saya dan Faiz Karim sahaja yang turun pagi ini dengan tekong Jat menggantikan tempat Biyek.

Kami masuk ke Royal Belum pula. Pancingan juga singkat sahaja kerana perlu pulang pada waktu tengah hari.

Tekong membawa kami ke kawasan berdekatan sahaja kerana kesuntukan masa.

Lokasi pilihannya merupakan kawasan tanjung di highway (highway bermaksud laluan utama bot).

Gewang yang disarankan untuk kawasan tanjung adalah spoon dan blade saiz 12 gram (g) ke bawah.

Ia harus dimainkan dengan cara rendam hingga ke dasar, sebelum ditarik ke atas, berhenti, rendam semula ke dasar dan ditarik semula.

Ulang proses itu sehingga gewang sampai semula kepada anda. Kami menerima beberapa ‘ketukan’, tetapi semua tidak lekat.

Hari juga semakin panas dan ikan sebarau sudah semakin culas.

Menjelang tengah hari, angin juga semakin kuat hingga membuatkan permukaan air berombak kecil.

Ini menambahkan lagi kesukaran untuk memainkan gewang. Akhirnya, hanya tekong yang berjaya menaikkan seekor sebarau bersaiz kasar.

Kami menamatkan sesi pancingan tidak lama selepas itu, dan balik semula ke boathouse untuk kemas beg sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Saya masih belum puas kerana ini hanyalah trip sambil-sambilan yang singkat.

Saya pasti akan turun lagi dengan persediaan yang lebih lengkap, mung­kin akan menghabiskan banyak hari lagi di sini sehingga puas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN